Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sukan perlu inklusif kepada semua golongan, kata menteri

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyuarakan sokongannya terhadap kenyataan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Ahmad Shapawi Ismail berkenaan langkah Terengganu menarik diri daripada sebarang acara gimnastik dan gimrama wanita.

Beliau berkata sukan adalah untuk menyatupadukan rakyat dan seharusnya inklusif kepada semua orang.

"Inklusif bagi mereka yang memilih untuk memakai hijab - mereka harus dibela dan diberikan tempat. Pada masa sama (ada juga) mereka yang memilih jalan lain.

"Pendirian saya ialah mempertahankan atlet. Kita nak pastikan apa pun latar belakang dan pilihan mereka, KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN akan tetap menjadi rumah mereka," katanya ketika sidang media selepas pelancaran kempen Unlimited Moves di Puchong, hari ini.

Laporan Bernama 3 September lalu Exco pembangunan belia, sukan dan NGO Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah sebagai berkata, kerajaan negeri itu sedang merangka garis panduan pemakaian patuh syariah bagi atlet yang akan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk persatuan sukan.

Pada masa sama, Wan Sukairi berkata kerajaan Terengganu terpaksa menarik diri daripada beberapa jenis sukan seperti gimrama dan gimnastik wanita yang menurutnya bercanggah dengan syariat Islam.

"Sukan ini (gimnastik dan gimrama) kita tidak boleh kompromi kerana ia menonjolkan aksi mengghairahkan kecuali jika hanya untuk tontonan wanita baharulah dibolehkan. Bagaimanapun, ia pastinya bercanggah dengan peraturan yang ditetapkan badan induk antarabangsa," katanya seperti dipetik.

Susulan itu, Ahmad Shapawi dalam kenyataan semalam berkata isu “ghairah” tidak wujud dalam sukan, dan anggapan bahawa kemahiran dan teknik ditonjolkan dalam sukan gimnastik dan gimrama “boleh mendatangkan ghairah kepada kaum lelaki” tidak harus diterima.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata pihaknya akan berbincang dengan kerajaan Terengganu berhubung langkah tersebut.

“Saya akan terus berdialog dengan kerajaan negeri bagi mencari titik pertemuan supaya isu ini dapat diselesaikan.

“Pendirian MSN jelas - tak kira dalam bidang sukan apa pun, selagi atlet membawa bendera Malaysia dia merupakan wira dan wirawati negara,” katanya.

Jawi: Ikut sajalah keputusan kabinet

Sementara itu, Syed Saddiq tidak mengulas panjang berhubung desakan kumpulan yang menggelar diri sebagai Pasukan Bertindak Seni Khat (Sekat) agar beliau menarik balik kenyataan "bodoh sombong" di Twitter baru-baru ini.

Ia berkenaan kenyataan Sekat bahawa mereka akan meyakinkan ibu bapa terbabit agar berhenti menghantar anak masing-masing ke sekolah jika kerajaan enggan berdialog dengan mereka berhubung pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular.

“Isu ini kita dah bincangkan berkali-kali di kabinet. Jadi, kita ikut sajalah keputusan kabinet”," katanya ringkas.

Lihat Komen
ADS