Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan setuju serah kuasa lantik KP SPRM pada JK parlimen

Kerajaan bersetuju untuk memindahkan kuasa melantik ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada perdana menteri kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam.

Ketua Pengarah Penubuhan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Abu Kassim Mohamed memaklumkan kerajaan juga bersetuju bahawa pemecatan atau penamatan jawatan ketua badan pencegah rasuah perlu diputuskan oleh sebuah badan bebas dan bukan mengikut kehendak perdana menteri.

Jelasnya, ia sama seperti tribunal yang ditubuhkan untuk menyingkirkan seseorang hakim.

"Pemecatan ketua pesuruhjaya SPRM perlu dibuat selaras dengan pelucutan jawatan seorang hakim, menerusi penubuhan sebuah jawatankuasa.

"Salah satu inisiatif (kami) adalah memastikan pelantikan dan pemecatan ketua pesuruhjaya perlu diamalkan seperti Deklarasi Jakarta, di mana perlindungan diberikan kepada tempoh ketua pesuruhjaya.

"(Hanya selepas itu), mereka akan merasa bebas dalam mengambil tindakan tanpa rasa takut untuk melakukan tugas mereka, " katanya ketika sesi soal jawab pada suatu majlis forum anti-rasuah di Kuala Lumpur.

Abu Kassim berkata langkah itu akan dilaksanakan dalam Pelan Anti Rasuah Kebangsaan (NACP) 2019-2023 yang dikeluarkan pada Januari.

Bagaimanapun, katanya kerajaan perlu meminda Perlembagaan Persekutuan mengenai fasal yang menyentuh pelantikan dan pemecatan jawatan ketua pesuruhjaya SPRM.

"Ini akan menjadi cabaran kepada Kerajaan Pakatan Harapan yang tidak mempunyai majoriti dua pertiga untuk meminda Perlembagaan Persekutuan di parlimen.

"Mereka (pegawai relevan) sedang mengkaji dan menyelidik kerana kita perlu justifikasi yang kuat untuk membawa perkara ini ke kabinet," katanya lagi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS