Malaysiakini BERITA

Mahathir pun tak minta maaf pada Anwar, kata Mohd Amar

N Faizal Ghazali  |  Diterbitkan

Ketika Dr Mahathir Mohamad meminta PAS menarik balik kenyataan mereka sebelum ini yang melabel Umno sebagai kafir sebelum kedua-dua parti itu memeterai piagam kerjasama, hari ini PAS memulangkan paku buah keras kepada perdana menteri itu.

Sambil menafikan dakwaan Mahathir, Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah, berkata hal yang sama tidak pernah dilakukan pengerusi Bersatu berkenaan kepada Anwar Ibrahim.

Hal itu, kata Mohd Amar, berlaku ketika Mahathir dan Anwar kembali bekerjasama walaupun pernah bersengketa bertahun-tahun.

"Dr Mahathir sendiri tidak pernah meminta maaf kepada Anwar walaupun pelbagai tuduhan dibuat (kepada presiden PKR itu), namun kini kedua-duanya boleh duduk bersama dan bekerjasama.

“Jadi, apa masalah sekiranya PAS dan Umno bekerjasama?” katanya kepada media selepas mesyuarat exco di Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) hari ini.

Semalam Mahathir dilaporkan berkata, kenyataan yang pernah disuarakan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, kepada Umno dulu masih belum ditarik balik secara rasmi oleh parti berkenaan bagi membolehkan mereka bekerjasama.

Umno dan PAS - yang berseteru selama puluhan tahun - akan memeterai kerjasama rasmi pada Sabtu ini di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Tak pernah gelar kafir

Perdamaian itu dimuktamadkan selepas Umno ditolak majoriti pengundi di negara ini pada 9 Mei tahun lalu dan PAS pula gagal menjadi penentu kuasa (king maker) seperti yang dicaturkan mereka sebelum PRU ke-14.

Mohd Amar berkata, PAS tidak pernah melabelkan Umno sebagai kafir sejak dahulu seperti yang didakwa Mahathir.

Sebaliknya kata timbalan menteri besar Kelantan itu, apa yang diperjelaskan PAS adalah mengenai batas-batas iman dan kufur, namun disalah tafsir oleh pihak tertentu dengan mendakwa PAS mengkafirkan Umno.

“PAS tidak pernah kata sejak dahulu, kita hanya menjelaskan batas-batas iman dan kufur berdasarkan tulisan ulama dalam kitab ianya terpakai kepada semua bukan Umno sahaja, sebaliknya semua orang Islam termasuk PAS.

"Boleh dengar semula ucapan sebelum ini kerana kita menyebut dari segi akidah.

"Cuma apa yang menjadi isu apabila orang memusingkan isu mengatakan PAS mengkafirkan Umno," katanya.

Justeru Mohd Amar berkata tidak timbul isu PAS perlu meminta maaf atau menarik balik kenyataan tersebut kerana mereka memang tidak pernah menggelar Umno kafir.