Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin berkata dia sedang menunggu pelawaan mesyuarat daripada presiden parti, Anwar Ibrahim.

Menjawab soalan pemberita bahawa Anwar memintanya supaya “datang sahaja” ke mesyuarat PKR, Zuraida berkata Anwar sendiri sudah berjanji untuk mengadakan perjumpaan dengan pihaknya.

“Saya sedang tunggu presiden panggil kami untuk berjumpa.

“[...] tak apa, dia dah janji nak jumpa. Kita tunggulah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Smart Cities Asia 2019 kali kelima di Pusat Persidangan Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, biarpun mengakui Anwar pada awalnya meminta untuk datang ke mesyuarat, anggota parlimen Port Dickson itu kemudiannya menyatakan persetujuan untuk berjumpa.

“Awal-awal dia kata (suruh) datang mesyuarat. Tapi lepas tu, dia kata mahu jumpa.

“Jadi, dah tentu kita pun nak jumpa dia (Anwar). Sebab kami nak jumpa presiden kami,” katanya lagi.

Zuraida sebelum ini menghantar tiga pucuk surat kepada Anwar untuk mengadakan pertemuan perdamaian, namun mendakwa ia tidak dibalas, menyebabkannya tidak hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Anwar bagaimanapun menjelaskan kemudiannya bahawa pihaknya sudah membalas satu daripada tiga surat itu, manakala dua lagi surat lagi akan dibalas oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin pula menolak permintaan Zuraida untuk mengadakan mesyuarat ‘perdamaian’, tetapi dibidas Zuraida bahawa surat itu untuk Anwar, bukan kepada “setiausaha agung yang cuma dilantik untuk jawatannya”.

Pada 18 Julai lalu, Zuraida mengakui berlaku perpecahan dalam PKR dan berkata terpulang kepada Anwar untuk memulihkan perselisihan itu susulan klip video seks yang mengaitkan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Anwar minggu lalu menyifatkan isu surat Zuraida sebagai isu “titik bengik”, dan memintanya datang sahaja ke mesyuarat seperti biasa untuk mengadakan apa-apa perbincangan.

Dalam perkembangan lain, Zuraida mengatakan PH Selangor masih mengadakan mesyuarat seperti biasa ketika disoal pemberita berkenaan hal itu.

Ia susulan dakwaan bekas Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim bahawa empat parti komponen PH Johor - PKR, Bersatu, DAP dan Amanah- sudah tidak mengadakan mesyuarat dan konvensyen bersama.

“PH Selangor berjumpa. Dengan menteri besar, saya rasa sebulan sekali.

“Hassan Karim tu selalu tak boleh pakai pandangannya (always out of touch)”, katanya lagi.

Lihat Komen
ADS