Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Sendaan “kerajaan sepenggal” ke atas PH mula bergema tidak lama selepas Umno kehilangan kuasa di peringkat pusat dan kebanyakan negeri dan mula berbaik-baik dengan PAS yang kempunan untuk menjadi king maker (penentu kuasa) di negara ini.

Bagi Umno yang akan berpiagam secara rasmi dengan PAS beberapa hari lagi, semua orang sedar dengan jelas bahawa penyatuan parti pembangkang terbabit memang menyasarkan kuasa di Putrajaya.

Pada masa sama ada pihak - dengan nada garang - pula menyemarakkan sentimen kaum dan agama dengan menuduh kerajaan Malaysia sudah jatuh ke tangan orang kafir dan kerana PH, Malaysia sedang berada di hujung usia dunia.

Namun di sana ada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan. Di mata Mohamad yang biasanya berpandangan lebih sederhana, Umno tidak perlu dikaitkan dengan istilah parti pembangkang kerana istilah tersebut dianggap “lemah” dan tidak membantu perjuangan.

Mengapa perkataan pembangkang masih mengandungi konotasi negatif meskipun negara sudah memasuki Malaysia Baru?

Walaupun struktur politik Malaysia berpaksi kepada demokrasi berparlimen, namun sejak merdeka kuasa masih tertumpu kepada badan eksekutif.

Istilah kerajaan yang terpakai atas badan eksekutif adalah menarik.

Sebelum kedatangan British, negeri-negeri Melayu menggunakan sistem feudal yang meletakkan raja-raja berkuasa mutlak. Sesebuah kerajaan diperintah oleh golongan bangsawan kuasa itu diwaris secara turun-temurun.

Kedatangan British mengakhiri kuasa mutlak raja apabila residen diletakkan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan penasihat pula di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu sejak akhir abad ke-19.

Tak lebih dari pentas lakonan

Sistem itu menjadi asas permulaan badan eksekutif membantu raja berpelembagaan memerintah. Ia berterusan sehingga dengan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri menjadi ketua sesebuah kerajaan.

Pentadbiran negara yang diuruskan dengan panduan perlembagaan memberi kuasa luas kepada jemaah menteri persekutuan termasuk berkaitan hal-ehwal hasil cukai pendapatan, kebudayaan dan perlancongan.

Namun keadaan yang berlaku - sejak pilihan raya pertama hingga tahun lalu - sifat sesebuah kerajaan pusat hampir tidak berubah langsung. Barisan kabinet pula kini seolah-olah raja yang memerintah tanpa perlu memakai mahkota.

Konsep kedaulatan parlimen (parliament sovereignty) masih agak asing kepada Malaysia kerana tanah air yang kita kongsi ini tiada sejarah perebutan kuasa di antara Parlimen dengan istana seperti dialami di Britain.

Maka keunggulan kuasa kerajaan kurang disemak dan diimbang oleh parti pembangkang. Dewan-dewan perundangan biasanya tidak lebih daripada hanya pentas lakonan, lebih-lebih lagi apabila jawatankuasa pilihan khas parlimen (PSC) tidak beroperasi secara berkesan untuk menyemak dasar-dasar kerajaan.

Perbahasan yang kadang-kadang membabitkan pertikaian yang mendidih di Dewan Rakyat suatu ketika dulu gagal membawa kesan sepatutnya untuk rakyat, malah pembangkang tidak cukup diberi peranan membantu penetapan atau penggubalan polisi.

Justeru pada era BN, medan politik pembangkang 'sebenar' hanyalah kedai kopi, majlis makan malam, markas parti serta kawasan lapangan tempat ceramah diadakan.

Seringnya 'sidang parlimen' tersebut diisi dengan ucapan politik bernada ranggi agar ia boleh menarik sokongan orang ramai dan memang itulah teras politik pembangkang.

Sebelum PRU14, kerajaan BN menyangka mereka boleh kekal berkuasa “dulu, kini dan selamanya”.

Namun kekalahan BN memecahkan dominasi sebuah gabungan parti selama 61 tahun, dan pada masa sama mencelikkan mata rakyat yang selama ini sukar membayangkan kerajaan di Malaysia boleh bertukar.

Kemudian naiklah PH yang sebelum ini bersungguh-sungguh meyakinkan pengundi bahawa jika mereka menjadi kerajaan, institusi pembangkang akan dihormati demi menyuburkan demokrasi.

Seperti kata Ketua Biro Dasar dan Strategi Bersatu, Dr Rais Hussin Mohd Ariff: “maruah pembangkang perlu dijaga.”

Melalui manifesto, PH berjanji untuk memberikan status setara seorang menteri untuk ketua pembangkang dan menyediakan slot khusus bagi membolehkan agenda mereka dibentangkan di parlimen.

Ia wajar diterjemahkan kepada pelaksanaan sebenar kerana dalam keadaan sekarang, parti kerajaan terdedah kepada perubahan nasib menjadi pembangkang, dan pembangkang menjadi kerajaan.

Apa yang membataskan keadaan itu cumalah persoalan masa dan peluang saja.

Pembangkang tak sama-sama merasa

Sebagai kerajaan, PH perlu menjaga kebajikan pembangkang kerana, pertama, ia akan membina citra yang betul buat gabungan itu, dan kedua, sebagai pelaburan jangka panjang jika takdirnya pada PRU akan datang mereka pula akan menjadi pembangkang.

Seperti membeli suatu skim insurans perlindungan masa depan, 'premium' yang perlu dibayar PH ialah membuka ruang di parlimen untuk dijadikan pentas pembangkang menyuarakan pandangan mereka, terutamanya dalam PSC di Dewan Rakyat.

Memang PH menunaikan janji manifesto mereka untuk melantik ahli parlimen pembangkang sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), namun dalam PSC lain ia masih dikepalai kalangan wakil rakyat kerajaan.

Tiada satu PSC yang dipengerusi oleh pembangkang ketika sepatutnya jawatan yang ada dibahagikan mengikut nisbah kerusi yang dipegang kalau pun bukan sama rata.

Hal ini penting kerana pembangkang sepatutnya diberi peranan mengemudi PSC dalam agenda semak dan imbang kerajaan secara efektif.

Selain itu, peruntukan untuk pembiayaan pejabat anggota parlimen pembangkang harus mendapat layanan yang sama seperti wakil kerajaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Md Farid Md Rafik, memberitahu Dewan Rakyat bahawa anggota parlimen kerajaan menikmati pembiayaan urusan pejabat sebanyak RM300,000.

Namun ahli parlimen pembangkang tidak menikmati keistimewaan tersebut. Maka pembayaran kakitangan pejabat, setiausaha dan penyelidik untuk wakil rakyat bukan kerajaan semuanya harus keluar dari poket sendiri.

Walaupun parti pembangkang boleh menjana dana daripada penyokong masing-masing, ia masih suatu bentuk diskriminasi dalam amalan demokrasi.

Kerajaan sebenarnya menafikan hak anggota parlimen pembangkang dan ia meletakkan penyokong mereka seakan-akan dibebankan dengan 'cukai politik' selain cukai pendapatan yang memang diwajibkan.


Baca Kerana Malaysia harus lebih ke depan


Jika 'cukai politik' tidak dibatalkan melalui akses dan hak yang sama rata kepada dana kerajaan, parti pemerintah yang terdedah kepada risiko menjadi pembangkang akan menghadapi diskriminasi yang sama pada masa depan.

Memang sukarlah membentuk budaya politik yang matang di negara ini sekarang apabila penyokong sesebuah parti akan saling bermusuhan akibat diskriminasi tersebut.

Arena politik Malaysia tidak perlu berpegang kepada sistem feudal dengan mengizinkan kuasa mutlak dan tunggal dipegang oleh suatu parti atau gabungan saja.

Pilihan raya dicipta adalah untuk mengurangkan nilai 'mahkota tunggal' atau kuasa pemerintahan mutlak agar ketegangan persaingan politik dapat dikurangkan.

Ia dapat diterjemahkan dengan memberi layanan adil kepada pihak yang kalah dalam pilihan raya dan tidak perlu mengikat perut kerana kekurangan dana untuk mereka bangkit semula.

Persaingan sihat politik perlu diutamakan supaya ciri-ciri feudal politik dapat diusir dan digantikan dengan model lebih baik.

Di gelanggang badminton, suatu hal yang biasa melihat Lee Chong Wei dan Lin Dan bertarung bermati-matian, tetapi di luar, kedua-dua pemain terhandal itu kekal bersahabat.

Puncanya: mereka bertarung di padang sama rata. PH wajar sedar dan mencontohi hal itu.

Dalam keadaan begitu, meski slogan "kerajaan sepenggal" dilaungkan sekuat-kuatnya pun, kehilangan kuasa tidak akan menjadi mimpi teramat ngeri buat mana-mana parti.


Bahagian 1: MP kerajaan bukan pegawai kebajikan atau 'Dewa Rezeki'


LU WEI HOONG ialah wartawan Malaysiakini yang berpendapat institusi parlimen dan persaingan politik sepatutnya menjadi medan gelanggang sukan bukan medan peperangan yang menelan darah. Ulasan ini lahir sempena ulang tahun ke-60 Parlimen Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS