Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa kerajaan menyiasat peningkatan jumlah kematian di kalangan pekerja asing Bangladesh di Malaysia.

Ini susulan laporan khas oleh Kaler Kantho yang berpangkalan di Dhaka dan Malaysiakini yang mendapati 393 pekerja Bangladesh meninggal dunia di Malaysia pada separuh pertama tahun ini. 

Kebanyakan mereka masih muda dan meninggal dunia akibat serangan jantung atau strok.

"Apa punca kematian ini, Malaysia telah menjadi 'padang pembunuhan' pekerja-pekerja muda, dan kita perlu bertanggungjawab dan memulakan siasatan segera.

"Sebab-sebab utama kematian yang diberikan dalam sijil kematian iaitu strok dan serangan jantung perlu disoal.

"Sebab-sebab ini tidak sejajar dengan ribuan pekerja masih muda, dalam lingkungan umur 18 - 32 tahun, dan telah menjalani pemeriksaan perubatan untuk menjadi pekerja asing," kata ahli jawatankuasa pusat PSM, R Rani.

Rani berkata, kematian mereka, yang dikatakan akibat strok dan serangan jantung, mungkin berpunca akibat kemiskinan.

Katanya, PSM menggesa pihak berkuasa menyiasat setiap kematian dengan teliti untuk menentukan punca sebenar kematian termasuk pemeriksaan darah dan bedah siasat, serta rekod kesihatan daripada rakan-rakan pekerja yang lain.

"Kita juga perlu memulakan pangkalan data untuk menyusun butiran setiap kes supaya mendapatkan gambaran keseluruhan. 

"Kita perlu memulakan usaha untuk sampai ke punca masalah ini dan tidak hanya mengangkat bahu," katanya.

[Baca berita penuh]