Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO rancang demo jika k'jaan tak haramkan arak murah

Pergerakan Anti-Arak Murah Malaysia mendakwa Kementerian Kesihatan tidak lagi ingin mengharamkan minuman keras murah, yang menyebabkan banyak kesengsaraan kepada masyarakat, terutama kumpulan B40 (berpendapatan rendah).

Ketua pergerakannya, David Marshel berkata gerakan itu akan terus berjuang sehingga kerajaan mengharamkan alkohol murah atau menguatkuasakan undang-undang bagi mencegah masalah sosial tersebut.

"Kami merancang untuk mengadakan perhimpunan awam di Parlimen pada sidang yang akan datang jika tiada tindakan diambil terhadap isu minuman keras murah.

"Kami berharap kerajaan Pakatan Harapan akan bertindak tetapi ia tidak berlaku seperti yang kita harapkan," katanya.

Marshel mendakwa pentadbiran PH telah membatalkan pelaksanaan penjualan arak murah selepas menerima rayuan daripada pengeluar dan penjual arak murah.

"Di bawah pentadbiran baru, pelaksanaan peraturan (untuk melarang penjualan arak murah) ditangguhkan sebanyak dua kali.

“Status terkini, Kementerian Kesihatan telah membatalkan langkah tersebut untuk melarang penjualan minuman keras itu selepas rayuan dari penjual dan pengeluar," kata Marshel.

'Kerajaan akur rayuan pengeluar arak murah'

NGO itu telah bertemu dengan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad semalam ketika karnival kesihatan di Butterworth.

Menurut Marshel, pihaknya telah membangkitkan beberapa isu kepada Dr Dzulkefky, termasuk kempen untuk mengharamkan minuman keras murah yang dilancarkan kerajaan pada tahun 2014.

NGO tersebut merujuk kepada peraturan baru di bawah Akta Makanan 1983 (Pindaan 2016) untuk mengawal penjualan arak murah, yang sepatutnya dilaksanakan pada 1 Disember, 2017.

Bagaimanapun, kata NGO itu, penguatkuasaan itu telah ditangguhkan selepas pengeluar minuman keras membuat rayuan untuk tidak menguatkuasakan peraturan tersebut.

Marshel selanjutnya mendakwa, Malaysia mempunyai kurang daripada 30 syarikat pembuatan minuman keras.

"Tetapi bagaimana mereka boleh menggunakan pengaruhnya yang begitu besar sehingga Kementerian Kesihatan boleh membatalkan keputusan untuk menguatkuasakan larangan itu?"

"Kami sangat kecewa ... Ia satu lagi U-turn besar tetapi kali ini ia memberi kesan kepada kehidupan rakyat, terutama golongan miskin," katanya.

Setiap hari satu kematian 

Marshel menggesa kementerian untuk menunjukkan keprihatinan kepada mereka yang mungkin terjejas dari segi kesihatan akibat pengambilan minuman keras murah.

Hampir setiap hari, akan terdapat kematian disebabkan kerosakan hati terutama di hospital kerajaan, katanya.

Kebanyakan kematian tersebut terdiri daripada golongan B40 dan majoriti mangsa merupakan kaum India, dakwa Marshel.

Untuk menangani masalah itu, beliau menggesa kementerian menubuhkan pusat pemulihan bagi penagih minuman keras (alcoholic) di pelbagai negeri.

"Kami berharap kajian mendalam dapat dilakukan berkaitan isu serius ini supaya dasar-dasar kerajaan yang tepat dapat dibentuk berdasarkan hasil kajian," katanya.

Marshel memetik kajian kes yang mengatakan terdapat 100,000 ibu tunggal kaum India yang menjadi korban minuman keras murah di kalangan kumpulan B40.

Katanya, pelajar sekolah juga tidak terkecuali. Menurutnya, kira-kira 20 hingga 30 peratus pelajar mula minum arak murah pelbagai perisa dengaan harga antara RM5 hingga RM30 setiap botol yang dijual di kedai-kedai runcit.

Marshel berkata hanya premis berlesen yang dibenarkan untuk menjual alkohol.

“Setakat ini, beribu-ribu lesen minuman keras dikeluarkan supaya kedai-kedai boleh menjual alkohol bersama dengan barang keperluan yang lain.

“Anak-anak muda boleh membelinya tanpa pengetahuan ibu bapa mereka, orang ramai atau pihak berkuasa.

"Kami mendesak kerajaan untuk tidak hanya meraih keuntungan kewangan daripada lesen minuman keras tetapi juga perlu melihat keadaan kesihatan mereka yang mengambil alkohol," katanya.

Mabuk ganggu awam cuma denda RM25 

Marshel juga menggesa Kementerian Dalam Negeri supaya meminda Seksyen 510 Kanun Keseksaan di mana seseorang yang mabuk dan menyebabkan gangguan awam, boleh didakwa, dihukum dan didenda tidak lebih daripada RM25.

Beliau berkata Seksyen 510 perlu dikemaskini dengan segera.

"Kami mengesyorkan agar denda dan penjara di bawah Seksyen 510 dinaikkan kepada RM5,000 dan penjara dua tahun dikenakan ke atas mana-mana pihak yang meminum alkohol di tempat awam, seperti padang atau taman permainan, tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Dia juga meminta Kementerian Kewangan untuk menaikkan cukai jualan dan menurunkan cukai siling pada penjualan minuman keras dan alkohol yang murah supaya tidak ada arak dengan kandungan alkohol 12 hingga 48 peratus yang boleh dijual di bawah RM30.

Marshel berkata kerajaan PH telah membuat beberapa janji dalam manifesto PRU14, di mana salah satunya adalah untuk meningkatkan kualiti hidup B40, terutama masyarakat India, yang menghadapi masalah sosial.

"Tetapi ia masih membenarkan penjualan minuman keras murah yang boleh menimbulkan pelbagai masalah sosial dalam kehidupan seharian B40.

"Banyak pemimpin dan ahli parlimen sekarang yang berkhidmat sebagai menteri menyokong pergerakan kami dan menandatangani petisyen untuk larangan alkohol murah tetapi tidak ada tindakan yang telah diambil setakat ini.

"Beberapa ahli parlimen pembangkang semasa era BN menyuarakan sokongan mereka di parlimen tetapi sekarang tidak bersuara untuk mengharamkan minuman keras murah ini,” katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS