Hadi jumpa KM S'wak bincang perpaduan dan kerjasama
Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Tun Openg.
Pada perjumpaan itu, Abdul Hadi berkata mereka membincangkan tentang usaha untuk mengukuhkan kerjasama antara negeri yang diterajui PAS dengan Sarawak.
“Kami bertukar pandangan mengenai usaha untuk merapatkan persahabatan yang telah terjalin di antara Kelantan, Terengganu dan Sarawak, seterusnya mengukuhkan kerjasama untuk memelihara perpaduan dan keamanan dalam negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut memuatnaik beberapa keping gambar dirinya serta beberapa pemimpin kanan PAS bersalaman serta berbual mesra dengan Abang Johari.
Hadir bersama di pejabat ketua menteri di Kuching itu hari ini adalah Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee.
Semalam, Abdul Hadi turut menghadiri sambutan Hari Malaysia yang dianjurkan PAS di Bintulu.
Semasa majlis itu, PAS mengajak penduduk Melayu dan Iban di Sarawak agar bekerjasama menghalang Cina daripada "menguasai" negeri berkenaan.
Berucap di Rumah Panjang Gima di Bintulu, beliau berkata Sarawak wajar dikuasai oleh bumiputera negeri terbabit.
Walau bagaimanapun, ketua pemuda DAP cawangan Serian, Brolin Nicholsion, hari ini tampil menyelar pelawaan Hadi itu dan menyarankan supaya pemimpin PAS berhenti menggunakan ucapan berbaur perkauman dan kebencian untuk meraih sokongan sedangkan belaiu tidak memahami hati rakyat negeri itu.






