Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bicara kes rogol babitkan exco Perak bermula 11 Nov
Diterbitkan:  Sep 24, 2019 12:33 PM
Dikemaskini: 4:33 AM

Mahkamah Sesyen Ipoh menetapkan lima hari bermula 11 Nov ini untuk perbicaraan kes membabitkan Exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong yang didakwa atas tuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia, Julai lepas.

Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu semasa sebutan semula kes itu di sini, hari ini.

Yong yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan mengaku tidak bersalah pada 23 Ogos lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman, manakala Yong diwakili peguam bela Ram Karpal Singh dan disertai Farhan Sapian, Adun Malim Nawar, Leong Cheok Keng dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

Ram Karpal ketika prosiding sebutan semula memohon mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan semula sebelum perbicaraan kerana pihaknya baru menerima 47 dokumen forensik dan saintifik serta berkemungkinan mendapatkan pakar sendiri untuk mengkaji semua dokumen itu.

Norashima kemudian menetapkan 22 Okt ini sebagai sebutan semula kes berkenaan.

Sementara itu, Azhar memberitahu seramai 24 saksi akan dipanggil sepanjang tempoh perbicaraan yang ditetapkan oleh mahkamah.

Terdahulu, Yong yang berkemeja putih dan sut biru gelap tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.45 pagi dan kira-kira 200 penyokongnya hadir ke mahkamah melaungkan kata-kata sokongan kepada beliau.

Dalam pada itu, peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Gabriel Susayan berkata pihaknya akan meminta keluarga pembantu rumah terbabit yang mendakwa terdapat pengaruh politik dalam kes berkenaan, supaya membuat laporan polis.

Ram Karpal Singh

“Saya telah menemui ibu mangsa Jumaat lepas dan akan menemui mangsa dalam masa terdekat. Terdapat beberapa peguam hendak menemui mangsa tetapi tidak dibenarkan. Sebagai peguam pemerhati, kami perlu melindungi dan menjaga kebajikannya," katanya kepada pemberita di luar kamar mahkamah.

Wakil Konsulat Kedutaan Indonesia di Malaysia, Sabda Tian berkata keluarga pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun itu berharap kebenaran dapat ditegakkan dengan adil.

"Kami mengharapkan semoga keputusan yang terbaik semasa tempoh perbicaraan dan yakin pemerintah Malaysia serius terhadap kes melibatkan korban (mangsa) demi keamanan buat semua pihak," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS