Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Najib arah Jho Low tukar penandatangan akaun TIA’
Diterbitkan:  Sep 24, 2019 6:13 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

KES 1MDB NAJIB l Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas perdana menteri Najib Razak telah mengarahkan agar Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) menukar penandatangan akaun syarikat itu bagi menjamin dana Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM5 bilion yang telah berada di dalam akaun TIA.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB dan juga TIA, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya berkata arahan penukaran penandatangan akaun syarikat melalui resolusi yang sah, dikeluarkan Najib melalui ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang dikenali sebagai Jho Low.

Merujuk kepada 'TIA Berhad Directors’ Resolution (DCR TIA) ' bertarikh 27 Mei 2009, Shahrol Azral berkata resolusi itu bertujuan untuk menukar penandatangan (authorised signatories) di setiap dokumen atau urusan melibatkan TIA bagi menjaga kepentingan kerajaan persekutuan kerana dana terbitan IMTN adalah di bawah jaminan kerajaan persekutuan dan telah pun masuk ke dalam akaun TIA.

"Saya dan Tan Sri Ismee Ismail (ketika itu pengarah TIA) telah tandatangani DCR pada 27 Mei 2009," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram pada perbicaraan hari ke-12 kes Najib membabitkan 1MDB.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata terdapat juga dokumen daripada Menteri Besar Terengganu Incorporated (MBI) mengenai resolusi TIA pada 22 Mei 2009 untuk menggantung IMTN, yang disokong oleh MBI Terengganu.

"Ini menunjukkan konflik di antara MBI Terengganu dan kerajaan persekutuan masih belum diselesaikan sepenuhnya," jelasnya.

Sementara itu, Shahrol Azral berkata adinda kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, YAM Tengku Rahimah binti Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah mengeluarkan surat bertarikh 27 Mei 2009 kepada Ahli Lembaga Pengarah (BOD) TIA bagi memaklumkan hasrat baginda untuk meletak jawatan.

“Tujuan surat ini dikeluarkan oleh YAM Tengku Rahimah adalah untuk memaklumkan kepada BOD TIA bahawa baginda berhasrat untuk meletak jawatan sebagai salah seorang daripada Pengarah TIA dalam kadar segera.

“Baginda turut memaklumkan melalui surat ini bahawa baginda tidak akan membuat sebarang tuntutan atau pampasan dalam sebarang bentuk kepada TIA berikutan kepada peletakan jawatan baginda,” katanya.

Selepas YAM Tengku Rahimah meletak jawatan sebagai pengarah TIA, Shahrol Azral berkata beliau merasa tidak selesa kerana ia melibatkan golongan atasan lalu telah meminta pandangan daripada Jho Low.

“Jho Low memaklumkan kepada saya bahawa Najib akan mencadangkan agar kerajaan persekutuan mengambil alih TIA kerana terdapat bon RM5 bilion yang dijamin oleh kerajaan persekutuan.

“MOF Inc. akan mengambil alih share MBI Terengganu dan membayar semula saham mereka. Ini bermakna TIA akan menjadi syarikat milik penuh MOF Inc dan dananya dijamin oleh kerajaan persekutuan,” katanya.

Terdahulu, saksi utama pendakwaan itu berkata beliau telah menandatangani surat rasmi daripada TIA bertarikh 27 Mei 2009 kepada pihak AmInvestment Bank.

“Ia adalah tindakan daripada pihak saya (TIA) untuk mengarahkan pihak AmInvestment Bank bagi meneruskan terbitan IMTN. Dengan surat ini, AmInvestment tetap meneruskan terbitan IMTN sepertimana maklum balas kepada surat itu,” katanya.

Shahrol Azral turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menandatangani lapan perjanjian Murabahah Purchases antara TIA dan AmInvestment Bank Berhad bertarikh pada 26 Mei 2009 bagi terbitan bon IMTN berjumlah RM5 bilion.

“Saya telah tandatangani kesemua dokumen perjanjian ini di ruangan 'for and on behalf of Terengganu Investment Authority Berhad',” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS