Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Sultan Mizan murka, TIA dijenamakan sebagai 1MDB'
Diterbitkan:  Sep 24, 2019 4:22 PM
Dikemaskini: 10:01 AM

KES 1MDB NAJIB l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan bahawa kerajaan negeri Terengganu membenarkan kerajaan persekutuan mengambil alih Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dan menjenamakannya sebagai 1MDB kurang empat bulan selepas syarikat itu ditubuhkan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TIA, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, syarikat itu diperbadankan pada bulan Mac 2009, tetapi masalah dengan pihak istana menyaksikan pemindahan pemilikan daripada Menteri Besar Terengganu Diperbadankan kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) pada Julai tahun itu.

Masalah bermula pada 22 Mei 2009 apabila lembaga TIA mengeluarkan resolusi pekeliling pengarah yang menyatakan bahawa terbitan bon bernilai RM5 bilion oleh syarikat itu akan digantung.

Lembaga pengarah juga mengeluarkan arahan supaya Shahrol dan semua pengarah lain dihalang daripada mengendalikan penerbitan bon berkenaan.

Pada petang hari kemudiannya, Shahrol berkata beliau dan pengarah TIA Ismee Ismail diarahkan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin supaya menghadap baginda di Istana Terengganu di Kuala Lumpur.

Sultan Mizan yang murka kemudian bertitah: "Tandatangan resolusi ini, kamu boleh membacanya jika mahu".

Dokumen itu ditulis oleh Tengku Rahimad Puteri Sultan Mahmud, adinda sultan Terengganu, yang juga adalah pengarah TIA dan tokoh korporat yang terkenal.

Dokumen ini memuatkan resolusi pengarah TIA yang mengarahkan Aminvestment Bank Bhd untuk menangguhkan penerbitan bon sehingga beberapa syarat dipenuhi.

"Saya terkejut kerana Jho Low beritahu saya bahawa Sultan Mizan tidak mempunyai sebarang bantahan dengan penerbitan bon.

"Ini kali pertama saya dengar dari Sultan Mizan bahawa Terengganu mempunyai syarat seperti itu kerana sebelum ini (saya di bawah tanggapan) Jho Low - penasihat dan fasilitator antara Sultan Mizan dan Najib Razak - tidak pernah memberitahu saya tentang syarat-syarat itu.

"Ismee dan saya menandatangani resolusi itu dan diarah meninggalkan istana. Kami tidak diberi peluang untuk menjelaskan bahawa terbitan bon sudah dilaksanakan," kata Shahrol.

Shahrol juga memberitahu mahkamah bahawa Sultan Mizan menggunakan istilah "unsavoury character" atau watak kelakuan buruk semasa pertemuan ringkas mereka tetapi dia tidak pasti siapa yang dirujuk oleh baginda.

Petang kemudian, Shahrol diarahkan untuk memberi taklimat kepada Jho Low dan Najib, yang adalah perdana menteri ketika itu, di kediamannya di Kuala Lumpur.

"Najib tanya sama ada saya tahu mengapa Sultan Mizan murka dan saya jawab saya tidak tahu. Dia bertanya sama ada saya mempunyai salinan resolusi pengarah, yang saya jawab tidak ada.

"Berikutan itu, Najib berkata,"Kamu teruskan, saya akan bincang dengan Tuanku," kata Shahrol.

Pada 27 Mei, Ambank menulis kepada Tengku Rahimah untuk memaklumkan TIA bahawa terbitan bon tidak boleh digantung kerana ia akan menjejaskan pasaran bon. Pada hari yang sama, Tengku Rahimah meletak jawatan sebagai pengarah TIA.

Pada bulan Jun, pemilikan TIA telah dipindahkan dengan segera kepada Kementerian Kewangan dan pada 19 Julai, syarikat tersebut dikenali sebagai "1Malaysia Development Bhd" atau 1MDB.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur  diberitahu bahawa DYMM Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin yang merupakan Yang di-Pertuan Agong ketika itu murka dengan isu pinjaman bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) yang dipohon Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) berjumlah RM5 billion.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan TIA, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata Sultan Mizan kemudiannya menitahkan terbitan IMTN digantung dan ditangguhkan sehingga syarat-syarat yang tertera dalam resolusi dipatuhi.

"Pada 22 Mei 2009, saya menerima makluman secara mengejut daripada Istana Terengganu. Saya dititahkan oleh DYMM Tuanku Mizan untuk hadir ke Istana Terengganu bersama Tan Sri Ismee Ismail (pengarah TIA) untuk menghadap baginda dengan seberapa segera. Saya telah terus ke Istana Terengganu selepas solat Jumaat.

"Sebaik sahaja sampai di Istana Terengganu, saya dan Ismee dibawa ke bilik mesyuarat, kemudian disusuli oleh DYMM Tuanku Mizan dan YAM Tengku Rahimah (adinda Sultan Mizan).

Baginda menunjukkan dokumen resolusi yang telah sedia ditandatangani oleh Tengku Rahimah. Seingat saya, Baginda bertitah “Please sign this resolution, you can read it if you want” (Tolong tandatangan resolusi ini, kamu boleh baca kalau mahu).

"Saya rasa tergamam dan dapat merasakan sesuatu yang tidak kena dengan intonasi DYMM Tuanku Mizan yang nampak murka. Saya memandang ke arah Ismee, dan saya langsung tidak berkata apa-apa cuma tertanya-tanya kenapa DYMM Tuanku murka dan meminta saya menandatangani resolusi itu," katanya semasa membacakan penyataan saksinya setebal 270 muka surat ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak.

Perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama, masuk hari ke-12 hari ini.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, beliau dengan segera membaca resolusi itu dan mendapati ia melibatkan isu IMTN yang diarahkan untuk digantung dan terbitan IMTN ditangguhkan sehingga syarat-syarat yang tertera dalam resolusi ini telah dipatuhi.

"Saya terkejut kerana sebelum itu Jho Low memaklumkan kepada saya bahawa DYMM Tuanku Mizan tiada halangan untuk meneruskan terbitan IMTN ini.

"Ini adalah kali pertama saya mendengar daripada pihak DYMM Tuanku Mizan bahawa pihak Terengganu meletakkan syarat terhadap terbitan IMTN kerana sebelum ini Jho Low sebagai penasihat dan fasilitator kepada DYMM Tuanku Mizan dan Datuk Seri Najib tidak pernah memaklumkan syarat tersebut," katanya sambil menambah beliau dan Ismee menandatangani resolusi tersebut atas titah DYMM Tuanku Mizan.

Menceritakan lebih lanjut, saksi berkata mereka (saksi dan Ismee) tidak mendapat salinan resolusi tersebut dan terus diminta meninggalkan Istana Terengganu dalam keadaan terkejut.

"Kami tidak diberikan peluang untuk memberikan sebarang penjelasan mahupun status terkini IMTN yang sudah dimeterai melalui perjanjian yang sah.

"Semasa saya di Istana Terengganu pada 22 Mei 2009 bersama Ismee, Tengku Rahimah dan DYMM Sultan Mizan, DYMM Tuanku ada menggunakan frasa "unsavoury character" (kelakuan buruk) tetapi saya tidak pasti frasa ini merujuk kepada siapa. Saya tidak tahu punca sebenar perbalahan antara stakeholders TIA pada masa itu," katanya.

Pada prosiding minggu lepas, saksi kelapan iaitu bekas pegawai khas kepada Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata Sultan Mizan menganggap ahli perniagaan Jho Low sebagai watak yang tidak menyenangkan kerana tindakan orang dalam buruan itu menyalahgambarkan Sultan.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.


Lihat Komen
ADS