Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi: Jho Low desak saya dapatkan bon bagi TIA
Diterbitkan:  Sep 23, 2019 6:24 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

KES 1MDB NAJIB l Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau didesak oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang dikenali sebagai Jho Low supaya mendapatkan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bagi projek Terengganu Investment Authority Berhad (TIA).

Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, yang juga bekas CEO TIA, berkata Jho Low mendesaknya berbuat demikian atas alasan Najib Razak dan Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin yang merupakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (ketika itu) memintanya menyegerakan program mengumpul dana kerana pengoperasian TIA bermula tanpa dana.

"Saya dimaklumkan oleh Jho Low di awal lagi terdapat cadangan untuk Kerajaan Persekutuan mengeluarkan jaminan kerajaan (GG) terhadap pinjaman sebanyak RM5 billion yang akan dibuat oleh TIA bagi menambahkan dana dalam TIA.

"GG ini akan digunakan untuk menjamin pinjaman oleh TIA yang akan dibuat melalui terbitan bon IMTN melalui institusi bank tempatan. Program penerbitan bon IMTN yang bernilai RM5 billion selama 30 tahun tersebut sebenarnya telah bermula sebelum saya menyertai TIA lagi.

"Apabila saya menyertai TIA, saya dimaklumkan oleh Jho Low bahawa Jawatankuasa Pemandu yang terdiri daripada Bakke (Mohd Bakke Salleh) Azlan (Azlan Zainol) dan Ismee (Ismee Ismail) telah memulakan perbincangan dan cadangan untuk mendapatkan terbitan bon RM5 billion kepada TIA.

“Program ini diterangkan oleh Jho Low yang bertindak sebagai Penasihat Pengumpul Dana di peringkat awal namun begitu, konsultan yang dilantik telah pun membuat pembentangan di hadapan Jawatankuasa Pemandu TIA," katanya.

"Maka sejak itulah program IMTN telah menjadi satu agenda penting untuk mendapatkan dana permulaan bagi pengoperasian TIA. Apabila saya mula menyertai TIA, saya bertindak sebagai pelaksana di atas dasar yang telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Pemandu.

"Saya telah dimaklumkan oleh Jho Low untuk meneruskan dasar dan pelaksanaan IMTN seperti mana kehendak DYMM Tuanku Mizan dan Kerajaan Persekutuan. Di atas sebab inilah saya meneruskan program yang dirancang tersebut," katanya.

Menceritakan lebih lanjut, saksi pendakwaan kesembilan itu berkata pada peringkat awal pengoperasian TIA, beliau terpaksa menumpang di Bilik Mesyuarat pejabat UBG di Twin Tower, KLCC dan Jho Low sebagai pegawai kanan di UBG hampir setiap hari bertanyakan tentang progres program IMTN.

"Saya beranggapan beliau sebagai penasihat kepada TIA telah mendapat arahan daripada pihak berkepentingan untuk mempercepatkan terbitan IMTN ini. Saya tiada pilihan lain dan terpaksa akur dengan kehendak pihak berkepentingan.

"Latarbelakang saya adalah dalam bidang kejuruteraan, maka apabila IMTN ini telah dinilai lebih awal oleh Jawatankuasa Pemandu yang mempunyai latarbelakang kewangan dan korporat, saya rasa yakin dan selesa untuk meneruskan agenda ini dengan kadar yang segera," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, saksi berkata tindakan pertamanya adalah dengan melantik AmInvestment Bank Berhad sebagai Pengatur Utama, Pengurus Utama dan Pelanggan Utama untuk mendapatkan IMTN bernilai RM5 billion.

Katanya, cadangan pelantikan AmInvestment Bank Berhad ini telah dicadangkan oleh perunding kewangan iaitu Goldman Sachs (M).

"Goldman Sachs telah membentangkan cadangan ini di pejabat saya. Ketika pembentangan ini dibuat, turut hadir adalah Casey Tang. Casey Tang pula berurusan dan mendapat pandangan daripada Jho Low sebagai advisor.

"Malahan pada masa itulah saya nampak Casey Tang mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang mendapatkan dana. Ini berdasarkan sesi soal jawab dan idea-idea bernas sepanjang berurusan dengan Goldman Sachs dan konsultan yang lain," katanya.

TIA ditubuhkan pada 27 Feb 2009 dan ditukar nama kepada 1MDB pada 25 Sept 2009.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

- Bernama

Lihat Komen
ADS