Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jomo: ECRL masih boleh dirundingkan oleh 'yang berkuasa'

Penasihat Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) Prof Dr Jomo Kwame Sundaram hari ini mengulangi pendiriannya bahawa Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang kontroversi itu wajar dinilai semula.

Namun, katanya, perkara itu perlulah dibuat dengan cara yang betul, melalui orang yang betul, dan individu dimaksudkan itu bukanlah dirinya.

“Saya percaya boleh kita nilai semula isu (ECRL) ini, tapi kena buat dengan betul, oleh orang yang mempunyai kuasa (authorized).

“Saya tak ada kuasa nak bercakap, untuk berbincang bagi pihak kerajaan Malaysia. Tapi saya rasa ada ramai orang yang kompeten dalam negara ini, yang ada pengalaman yang relevan untuk pergi berbincang mengenainya (dengan China),” katanya kepada pemberita selepas satu sidang media tentang ekonomi di Kuala Lumpur hari ini.

Biarpun bersetuju dengan pandangan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa ECRL melibatkan banyak “pertimbangan nasional”, Jomo mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa Presiden China, Xi Jinping, sendiri tidak akan mahu terkait dengan rasuah.

Tambahan pula, katanya, bagi Xi, Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) ialah kemegahan (flagship) kepada negara itu, justeru dia pasti tak mahu terkait dengan korupsi.

“Beliau (Xi) tak mahu bergelumang dengan kontroversi ini, dikaitkan dengan ini. Sebab itu saya percaya, jika kita tangani dengan betul, ia (ECRL) masih boleh dinilai semula," katanya.

Tak mahu terkait

Beliau yang sebelum ini menganggotai Majlis Penasihat Kerajaan juga mengakui penting untuk Putrajaya menjaga hubungan baik dengan Beijing.

“Tapi pada masa sama, kita bertuah dengan apa yang terdedah di mahkamah (melalui perbicaraan sekarang).

"Kita boleh pergi semula kepada China dan mengatakan: Kami sebelum ini tak tahu hal ini (korupsi dalam skandal 1MDB), sekarang kami tahu,” tambahnya.

Jomo sebelum ini meminta kerajaan menangguhkan projek ECRL susulan keterangan yang ditimbulkan saksi pada perbicaraan rasuah melibatkan Najib Razak.


Baca Pengkritik ECRL boleh runding dengan China, sindir PM


Bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazrudin, baru-baru ini memberitahu mahkamah bahawa ECRL adalah antara projek yang dirancang untuk menyelamatkan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, ketika mengulas kritikan Jomo meminta pengkritik “berunding sendiri” dengan China untuk menangguhkan ECRL.

Lim pula - biarpun bersetuju dengan pandangan Jomo - menyatakan ECRL ialah projek yang melibatkan hubungan Malaysia - China yang merupakan rakan dangangan terbesar negara.

Faham dengan tindak balas terhadap kritikannya itu, Jomo bagaimanapun berpendapat penilaian semula ECRL boleh dilakukan dalam cara yang tidak menjejaskan hubungan dagangan dan diplomatik serta “langsung tidak memalukan China”.

“Sebab, kerajaan pusat China dan parti pemerintah pasti tak mahu terkait dengan (dakwaan rasuah) ini.

“Dan sudah tentu Xi juga tak mahu dikaitkan dengan perkara karut macam ini,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS