Khairy calon Naib Presiden?
Yang mana satu idaman Khairy Jamaluddin jawatan Ketua Pemuda atau Naib Presiden? Inilah buah bicara yang hangat diperkatakan di kalangan ahli Umno sekarang.
Yang mana satu idaman Khairy Jamaluddin jawatan Ketua Pemuda atau Naib Presiden? Inilah buah bicara yang hangat diperkatakan di kalangan ahli Umno sekarang.
Fokus pemimpin dan pemerhati politik ketika ini ialah menantu lelaki presiden Umno itu. Segala gerak-geri Khairy diperhatikan. Tidak cukup dengan itu, ia dianalisis mengikut pelbagai sudut pandangan dan kepentingan.
Kini dari bibir ke bibir orang Umno tersebar berita bahawa Naib Ketua Pemuda Umno itu sedang menyiapkan diri dan strategi untuk bertanding merebut jawatan Naib Presiden dalam pemilihan pucuk pimpinan Umno yang akan datang yang dijadualkan tahun 2007.
Ini ditambah pula dengan gambaran bahawa Khairy seorang yang mempunyai cita-cita politik yang tinggi dan pernah menyuarakan cita-citanya mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia sebelum usia 40 tahun! Kerana gambaran itulah, maka timbul spekulasi yang beliau akan "melompat tangga" dan memecah tradisi terus mahu menduduki kerusi Naib Presiden.
Pelbagai hujah dan alasan diberikan mengapa Khairy perlu terus "melompat tangga" dan melupakan sahaja jawatan Ketua Pemuda Umno. Faktor utamanya, menurut para pemerhati politik, dikatakan ada kaitan dengan persaingan antara penyokong Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Penyokong Khairy dikatakan bimbang jika Najib menggantikan Pak Lah nanti, maka peluang Khairy untuk memanjat hiraki Umno akan terbantut.
Kemaraan dalam Umno
Oleh itu, Khairy harus berada di kedudukan yang paling hampir dengan Timbalan Presiden Umno untuk dipilih sebagai orang kanan Najib apabila anak allahyarham Tun Razak itu menjadi Perdana Menteri nanti.
Menurut pemerhati, jika Khairy berada di jawatan Ketua Pemuda Umno ketika Najib diangkat menggantikan Pak Lah, kemaraannya dalam Umno cuma setakat itu sahaja.
Menurut mereka, Khairy tidak akan "dipancung" oleh Najib tetapi oleh orang-orang sekelilingnya yang tidak mahu kedudukan mereka diganggu-gugat oleh kemaraan Khairy.
Oleh itu, Khairy perlu berada di kerusi Naib Presiden Umno semasa Pak Lah masih lagi Presiden Umno dan Najib masih Timbalan Presiden parti itu.
Lagi pula, laluan Khairy dalam Umno menjadi mudah ketika ini kerana beliau menantu Perdana Menteri. Banyak pihak bersedia memberi laluan kepada pemimpin berusia 29 tahun itu asalkan beliau pandai membalas budi.
Datuk Norza Zakaria memberi laluan kepada Khairy untuk memenangi jawatan Naib Ketua Pemuda tanpa bertanding. Khairy juga "dihadiahkan" jawatan Ketua Pemuda Rembau tanpa perlu berpenat lelah berkempen dan bertarung.
'Tuah datang bergolek'
Setakat ini semua datang bergolek untuk Khairy, namun keadaan akan berubah jika Pak Lah sudah berundur. Tiada siapa tahu selama mana Perdana Menteri Malaysia kelima itu akan bertahan. Apa-apa sahaja boleh berlaku, maka kerana itu Khairy tidak boleh membuang masa.
Kalau pada ketika Najib menjadi Perdana Menteri, Khairy tidak berada di jawatan Naib Presiden parti, pastinya jawatan Timbalan Perdana Menteri akan jatuh ke tangan salah seorang tiga Naib Presiden ketika itu. Siapa? Mungkinkah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ali Rustam dan Datuk Hishamuddin Hussein atau Datuk Adnan Yaakob.
Mengikut tradisi Umno, orang yang memegang jawatan Naib Presiden lebih berhak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, walaupun ia bukan satu peraturan bertulis.
Oleh itu, Khairy perlu "melompat" jawatan dan penyokongnya berpendapat beliau perlu melakukannya segera dalam pemilihan parti yang akan datang. Dan beliau mungkin mempunyai lebih masa untuk mempersiapkan diri kerana kemungkinan pemilihan Umno tahun depan ditangguhkan sehingga selepas pilihanraya umum 2008, sepertimana yang dilakukan sebelum ini.
Tetapi ia bukanlah perkara mudah. Bagaimana dengan jawatan Ketua Pemuda kerana Hishamuddin telah berjanji akan mengosongkannya pada tahun 2007 kerana beliau akan merebut jawatan Naib Presiden?
Sanggupkah Khairy melepaskan peluang menerajui Pemuda Umno dan terjun ke gelanggang bertarung bersama Datuk Hishamudin Hussein untuk jawatan nombor tiga dalam parti.
Berisiko tinggi
Tidakkah risikonya terlalu tinggi? Dua tokoh pemuda bertarung sesama sendiri untuk jawatan yang sama. Kalau kedua-dua teraju Pemuda Umno ini bertanding serentak bagi kerusi Naib Presiden, tidakkah kedua-duanya seperti meletakkan masa depan politik mereka di hujung tanduk?
Kedua-duanya sekali mungkin menang atau tewas atau seorang akan menang dan seorang lagi kecundang. Oleh itu tindakan ini boleh dianggap sebagai "pertarungan hidup mati".
Kalangan penyokong kedua-dua tokoh pemuda ini berpendapat, adalah lebih bijak jika salah seorang daripada mereka sahaja mencuba nasib merebut jawatan nombor tiga dalam parti itu kerana peluang untuk menang lebih cerah.
"Undi wakil Pemuda akan pergi sepenuhnya kepada Hishamuddin atau Khairy tetapi jika kedua-duanya bertanding, undi Pemuda akan berpecah,"katanya seorang bekas Exco Pemuda Umno.
Jadi mungkinkah ada kompromi antara Khairy dan Hishamuddin? Mahukan Menteri Pelajaran itu akan kekal mempertahankan jawatan Ketua Pemuda Umno dan membiarkan Khairy melangkauinya, merebut jawatan Naib Presiden?
Tidakkah Hishamuddin juga mempunyai cita-cita untuk meningkat setahap lagi dalam saf kepimpinan Umno? Sampai bila beliau mahu berkubu dalam gelanggang Pemuda sahaja?
Kalangan ahli-ahli Umno berkata, usaha untuk mencari kompromi antara Hishamuddin dan Khairy sedang dijalankan sekarang.
Pengaruh dan populariti
Walaupun kedua-duanya dilihat sebagai pasangan yang serasi dalam teraju Pemuda ketika ini, namun sebenarnya wujud perlumbaan mencari pengaruh dan populariti antara mereka berdua.
Khairy begitu ketara sekali dengan segala aktiviti Pemuda dan operasi turun padangnya di pusat pengajian tinggi, sekolah rendah, ke ceruk kampung dan mengharungi banjir di Shah Alam. Menantu Pak Lah ini turut menonjol dalam bidang sukan menerusi prorgam realiti bolasepaknya, MyTeam.
Malah Khairy juga melibatkan diri dalam bidang penerbitan menerusi program "Halal Jurnal" yang promosinya saban hari disiarkan di televisyen.
Seorang Ketua Pemuda Umno dari Selangor berkata, pengaruh KJ berada di mana-mana ketika ini dari politik, sosial, media hingga ke sektor korporat.
"Tidak keterlaluan kalau dikatakan populariti Khairy melebihi ketuanya sekarang ini," katanya.
Bagaimanapun, menurut Ketua Pemuda bahagian itu, Khairy tidak mahukan jawatan Ketua Pemuda. Oleh itu, beliau sedang memberi tekanan kepada Hishamuddin untuk menarik balik janji yang dibuatnya pada pemilihan pucuk pimpinan Umno 2004.
Esok: Mahukah Hishammuddin kekal sebagai Ketua Pemuda?


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.