Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelan perancang keluarga kurang difahami di kawasan pedalaman

Program perancang keluarga mungkin hanya difahami oleh komuniti Orang Asli yang tinggal berdekatan dengan bandar tetapi sukar diterima di pendalaman, kata aktivis.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOAM) Tijah Yok Chopil, menjelaskan komuniti yang tinggal di kawasan pendalaman biasanya mahukan anak ramai.

“Mereka (golongan ibu Orang Asli yang tinggal berdekatan bandar) bersetuju kerana hidup yang sudah moden, jadi anak atau keluarga yang lebih kecil bagi mereka lebih mudah dan tidak terbeban.

“Jika golongan ibu Orang Asli di pendalaman, keperluan hidup dan segi kesedarannya untuk ada anak itu berbeza,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Jelas Tijah, antara sebab komuniti Orang Asli di pendalaman mahukan zuriat ramai kerana sedar populasi mereka semakin berkurangan dari semasa ke semasa.

“Kadang-kadang dari satu segi tahap kesedaran tentang mereka (golongan ibu Orang Asli di pendalaman) lebih baik sebab mereka tahu bilangan komuniti itu makin mengecil, dan sekarang masalah ditambah pula dengan pertambahan pendatang asing.

“Jika bilangan Orang Asli makin kecil, maka mereka tiada kuasa dalam hak mengundi, mempertahankan wilayah tanah adat, malah suara kami juga akan makin hilang dan akhirnya lenyap,” katanya.

Patutnya tak ada masalah

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata siasatan mendapati kebanyakan wanita Orang Asli yang ditemu bual mengetahui tujuan program perancang keluarga dijalankan kementeriannya.

Menurut Kementerian Kesihatan program itu bertujuan menjarakkan kelahiran bagi memberi peluang ibu kembali sihat bersedia untuk mengandung seterusnya, selain dapat menumpukan aspek tumbesaran serta perkembangan anak baru lahir.

Sementara itu, Tijah turut menggesa Kementerian Kesihatan agar tidak memaksa wanita Orang Asli untuk menyertai program berkenaan.

“Sebaiknya jelaskan dengan baik kenapa perancang keluarga perlu dibuat.

"Selepas jelaskan, terserah kepada ibu-ibu terbabit hendak makan (pil perancang keluarga) atau tidak. Jangan dipaksa,” katanya.

Tijah berkata masalah dihadapi masyarakat Orang Asli ketika ini ialah kekurangan sumber akibat aktiviti penerokaan hutan yang dijalankan pihak tidak bertanggungjawab.

“Isu sekarang bukan anak ramai sangat, tetapi soalnya, kalau kampung halaman dan hutan mereka tidak diganggu, tak ada masalah kekurangan makanan.

“Apa yang terjadi sekarang ialah tanah dan wilayah adat dihancurkan oleh pembalakan dan segala macam pembangunan, jadi mereka susah untuk bercucuk tanam dan mencari sumber,” katanya.

Lihat Komen
ADS