Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis siasat dakwaan Puteri Umno ‘lelaki berparang mati syahid’

Polis akan menyiasat dakwaan pemimpin Puteri Umno yang menyifatkan kematian seorang penyerang berparang yang mengamuk di sebuah kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang sebagai mati syahid.

Walau bagaimanapun, kata Timbalan Pengarah Forensik/Databank/ DNA/Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, DCP Mohd Dzuraidi Ibrahim setakat ini belum ada laporan dibuat mengenai perkara itu.

"Kita akan siasatan kenyataan yang dikeluarkan termasuk dari Puteri Umno.

"(Namun) setakat ini tidak ada lagi (laporan polis dibuat)," katanya pada sidang media di Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada kejadian pada 4.45 petang Isnin lalu, seorang individu berusia 25 tahun yang bekerja di kilang terbabit mengamuk sebelum menetak penyelia wanita dan pengurus keselamatan menggunakan parang.

Penyelia wanita berusia 47 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang kerana cedera parah di beberapa bahagian badan terutama kepala manakala lelaki yang juga pengurus keselamatan berusia 53 tahun cedera, tetapi berada dalam keadaan stabil.

Rabu lalu, Naib Ketua Puteri Umno, Nurul Amal Mohd Fauzi ketika tampil dalam satu ceramah di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan, menyifatkan kematian syahid itu terjadi selepas suspek mengamuk kerana marah terhadap dua individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.

"Kelmarin bersemadinya seorang syuhada, assyahid Sheikh Mohd Khairil yang ditembak disebabkan beliau mengamuk di hadapan dua orang kafir yang menghina junjungan besar Nabi Muhammad.

"Semoga Allah SWT mengurniakan syurga Firdaus buat arwah, sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah," katanya.

Sehubungan itu, Dzuraidi menasihatkan orang ramai supaya lebih peka dan berhati-hati serta tidak menyebarkan sebarang berita yang berbaur perkauman di media sosial dan beri ruang kepada pihak polis untuk jalankan siasatan.

Semalam, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata pihaknya akan menyiasat kenyataan Nurul Amal itu.

Katanya, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman ketika ini sedang membuat semakan berhubung kenyataan berkenaan.

“D5 sedang semak dan siasat,” yang dipetik portal Berita Harian.

Lihat Komen
ADS