Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Inkues Adib: Mahkamah terima teori Prof Dr Shahrom
Diterbitkan:  Sep 27, 2019 6:21 PM
Dikemaskini: 10:21 AM

Mahkamah Koroner di Shah Alam hari ini menerima teori yang dikemukakan Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa trauma tumpul di bahagian dada Muhammad Adib Mohd Kassim yang menyebabkan kematiannya akibat ditarik keluar dan diseret dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dalam posisi badan 45 darjah ke bawah.

Koroner Rofiah Mohamad berkata demikian dalam keputusan inkues bagi mengenal pasti punca kematian anggota bomba Muhammad Adib, selepas parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 27 Nov tahun lalu.

"Pada masa sama, pintu EMRS diterajang dan menyebabkan mangsa tersepit di antara pintu dan jenang pintu.

"Sentuhan ini menyebabkan kecederaan berseret pada badan mangsa dan kemudian mangsa dihentak ke belakang menyebabkan kepatahan korteks tujuh tulang rusuk secara lurus yang akan saya jelaskan pada penghakiman bertulis nanti," katanya.

Beliau berkata, mahkamah turut menolak teori bahawa Muhammad Adib turun sendiri dari van EMRS pada masa kejadian.

Dr Shahrom adalah saksi ke-29 dalam prosiding inkues itu.

Beliau berkata mahkamah juga menolak pengiraan daya yang dikemukakan oleh Pakar Patologi Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi.

Sebaliknya, katanya mahkamah menerima pengiraan daya dikemukakan oleh Dr Shahrom yang juga disokong saksi ke-30, pakar fizik iaitu Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Amir Radzi Ab Ghani.

"Keterangan Dr Ahmad Hafizam bahawa mangsa tertolak ke kiri jalan, ia menyalahi hukum fizik. Kalau dia sepatutnya jatuh ke belakang, ia akan menyebabkan cedera remuk. Justeru, teori bahawa Adib turun sendiri dari van adalah ditolak," katanya.

Beliau berkata, teori Muhammad Adib diseret ke tepi jalan adalah lebih munasabah dan disokong dengan penemuan dua helmet di dalam van EMRS.

Selain itu katanya, keterangan Dr Shahrom juga bahawa tingkap van EMRS akan pecah jika dihentak berkali-kali turut disokong keterangan saksi anggota bomba bahawa van berkenaan digoncang dengan kuat di bahagian kiri dan kanan.

"Saya dapati bahawa mangsa ditarik keluar oleh orang yang bertindak ganas di sebelah kiri van EMRS," katanya.

Pada 27 Nov lepas, Muhammad Adib yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara (IJN).

- Bernama

Lihat Komen
ADS