Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Lebihan bayaran deposit sekuriti AS$790,354,855 masuk ke akaun Najib’
Diterbitkan:  Sep 30, 2019 4:14 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

KES 1MDB NAJIB l Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa lebihan bayaran deposit sekuriti berjumlah AS$790,354,855.00 kepada Aabar Investment PJS Ltd (Aabar) yang dibayar oleh 1MDB dimasukkan ke akaun milik Najib Razak untuk tujuan penyelewengan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksinya pada hari ke-15 perbicaraan kes Najib membabitkan dana 1MDB.

“Kesimpulannya, pengambilalihan Genting (Genting Sanyen) telah selesai melalui pembiayaan menggunakan bridging loan berjumlah RM700 juta dan terbitan bon berjumlah AS$1.75 bilion.

“Saya akui memang terdapat lebihan yang sangat banyak daripada hasil pembiayaan untuk pengambilalihan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun saksi pendakwaan kesembilan menegaskan bahawa beliau langsung tidak tahu menahu bahawa lebihan wang untuk pembayaran deposit keselamatan berjumlah AS$790,354,855 kepada Aabar adalah untuk diseleweng oleh pihak lain.

“Pembayaran deposit sekuriti itu dibuat secara penuh percaya berdasarkan dokumentasi yang disediakan oleh Jasmine Loo (peguam 1MDB) Terence Geh (Pengarah 1MDB) dan Tim Leissner (Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Asia).

"Setelah penyiasatan dilakukan barulah saya tahu yang deposit keselamatan ini diaturkan oleh Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho) untuk membolehkan wang 1MDB masuk ke dalam akaun yang dikawal olehnya untuk tujuan penyelewengan yang seterusnya dimasukkan ke akaun milik Najib.

"Sekali lagi, Jasmine Loo sebagai pegawai yang dipertanggungjawabkan, telah datang kepada saya untuk membentangkan dapatan dan dokumen yang banyak bagi menunjukkan aspek teknikal kewangan dan proses pelaburan sepertimana sebelum ini, pemerolehan Tanjong Energy Holding Sdn Bhd (TEHSB).

"Beliau menunjukkan dokumen yang meyakinkan saya bahawa 1MDB perlu membayar kepada Aabar Investment PJS Ltd sebanyak AS$790,354,855 yang ditanggung melalui lebihan terbitan Bon AS$1.75 bilion sebagai deposit keselamatan kepada International Petroleum Investment Co (IPIC) yang merupakan penjamin bon tersebut,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram.

Saksi penting pendakwaan itu berkata itu merupakan tindakan yang sama sepertimana beliau menyatakan alasan dalam remittance TEHSB sebelum ini yang 1MDB perlu lagi sekali membayar deposit keselamatan kepada anak syarikat IPIC iaitu Aabar sebagai cagaran dan akan dipulangkan semula selepas tawaran awam permulaan (IPO).

Beliau berkata seperti transaksi TEHSB sebelum ini, beliau beranggapan yang bayaran itu sudah dipersetujui oleh dua-dua belah pihak iaitu IPIC dan pemilik saham 1MDB dan Perdana Menteri iaitu Najib.

“Ini adalah kerana rundingan jaminan ini diterajui oleh PMO. Kemudiannya, saya telah dimaklumkan oleh Jasmine Loo bahawa dokumen remittance yang berjumlah AS$790,354,855 telah ditandatangani oleh Terence Geh dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir, untuk dibayar ke akaun Aabar Investment PJS Ltd di BSI Bank SA, Lugano, Switzerland daripada akaun Falcon Private Bank (Hong Kong) milik syarikat 1MDB Energy (Langat) Limited (1MELL) (anak syarikat 1MDB).

“Sekali lagi, saya tidak tahu siapa yang menentukan jumlah pembayaran AS$790,354,855 tersebut yang pada pendapat saya adalah sangat besar jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan Bond yang diterbitkan sebanyak AS$1.75 bilion bagi pembelian IPP Genting Sanyen.

“Namun, saya tidak curiga dan tidak mempersoalkannya kerana pada masa itu saya menganggap ini adalah sesuatu yang sudah dipersetujui oleh Najib dan pihak IPIC, berdasarkan pelan tindakan dan perbincangan saya dengan Jho Low,” katanya.

Shahrol Azral berkata beliau juga percaya pada masa tersebut bahawa wang deposit keselamatan berkenaan akan dikembalikan semula kepada syarikat apabila IPO bagi perniagaan tenaga syarikat dibuat untuk penyenaraian di Bursa Saham Kuala Lumpur (KLSE).

Katanya walaubagaimanapun, wang tersebut tidak pernah dikembalikan semula kepada syarikat walaupun setelah 1MDB gagal melaksanakan penyenaraian perniagaan tenaga ke KLSE.

Saksi itu berkata bayaran AS$790,354,855 kepada Aabar Investments PJS Limited dibuat pada 19 Okt 2012.

Beliau berkata proses pengambilalihan Genting, pada pandangannya dibuat dalam keadaan sangat tergesa-gesa jika dibandingkan dengan pengambilalihan TEHSB.

Katanya semua kelulusan hanya melalui Director Circular Resolution (DCR) tanpa dibentangkan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB.

“Keadaan tergesa-gesa ini disebabkan tekanan Jho Low yang menyatakan pinjaman dan jaminan daripada pihak IPIC ini harus disegerakan kerana ada faktor kerjasama G2G (kerajaan dengan kerajaan) dan juga mesti diselesaikan sebelum PRU ke-13 untuk memastikan cukup perhatian daripada Najib sebelum beliau akan sibuk berkempen.

"Selepas daripada itu, saya telah dipindahkan ke Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan jawatan CEO telah diambil alih oleh Hazem Abdul Rahman.

"Saya tidak tahu menahu secara terperinci kenapa opsyen Aabar telah ditamatkan kerana saya tidak lagi terlibat secara langsung dalam sebarang perbincangan dan urusan pihak terbabit. Walau bagaimanapun, saya hanya tahu maklumat ini secara am sahaja melalui media,” katanya.

Shahrol Azral dilantik sebagai pengarah di Pemandu yang merupakan unit di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 15 Mac 2013.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan keempat-empat kesalahan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama. Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS