Penyokong Khairy Jamaluddin dipercayai sedang memujuk Datuk Hishammuddin Hussein supaya mengekalkan jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia untuk memberi laluan kepada Khairy bertanding jawatan Naib Presiden Umno dalam pemilihan akan datang.

Perkiraan mereka ialah sekiranya Hishammuddin mengekalkan jawatannya, maka Khairy akan mendapat sokongan mantap daripada pergerakan tersebut dan peluang untuknya memenangi jawatan naib presiden, akan lebih cerah.

Dengan sokongan penyokong setia Pak Lah dan Pemuda Umno serta bantuan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Umno, Khairy diyakini boleh mengisi kerusi Naib Presiden yang dikosongkan oleh Tan Sri Mohd Isa Samad.

Kalangan penyokong Khairy juga percaya, jika menantu Pak Lah itu menawarkan diri bertanding kerusi naib presiden, pemimpin Umno lain yang berada di luar Pemuda, akan turut menyokongnya.

Mereka juga percaya tokoh-tokoh seperti Datuk Seri Adnan Yaakob, Datuk Shahrir Samad dan Datuk Mustapha Mohamad tidak akan menawarkan diri sekali lagi kerana mereka semua terhutang budi kepada Pak Lah.

Bagaimanapun, mereka juga bimbang kerana seandainya Khairy gagal dalam percubaannya itu, maka besar kemungkinan karier politiknya juga akan turut terkubur.

Menurut seorang ketua bahagian Umno, Khairy sebenarnya mempunyai banyak musuh dan masing-masing menuggu masa dan peluang sahaja untuk 'mencantasnya'.

'Menongkah arus'

"Bila Khairy bertanding, pastinya mereka mahu melihat beliau kalah...Kalau tewas, Khairy akan kehilangan semua platform politiknya kecuali jawatan Ketua Pemuda bahagian Rembau," katanya.

"Kita kena faham tradisi orang Melayu dan Umno. Orang yang kurang sabar dan menongkah arus banyak buat musuh dalam mencapai cita-citanya.

"Dalam kes Khairy ini, apabila dia dapat seorang kawan baru, pada masa yang sama, dia dapat dua musuh baru. Banyak batang tubuh yang dilangkah kalau dia mahu bertanding jawatan naib presiden Umno," tambahnya.

Sebagai contoh, katanya, apabila Khairy melantik kawan baiknya yang berasal dari Pulau Pinang menjadi Ketua Pemuda Umno Perlis, maka banyak pihak yang berkecil hati.

Katanya lagi, Khairy juga tidak boleh bergantung semata-mata kepada pengaruh Pak Lah kerana populariti dan pengaruh Presiden Umno itu sebenarnya belum dapat dipastikan kekuatan sebenarnya.

"Sana-sini orang membandingkan Pak Lah dengan Dr Mahathir atau dengan Najib...," ujarnya.

Oleh itu beliau merumuskan, seandainya Khairy bertanding jawatan naib presiden, maka ia ibarat membuka keranda politik sendiri.

Khir Toyo diawasi

Namun begitu, mengikut perhitungan dan penilaian para penyokong Khairy, beliau boleh menang dalam pertandingan jawatan nombor tiga dalam Umno itu, asalkan Hishamuddin sanggup berkompromi.

Menurut seorang pembantu Khairy, Pemuda Umno berdiri teguh di belakang Khairy kerana sebahagian besar ketua Pemuda Umno negeri dan bahagian adalah kalangan generasi baru yang mengkagumi kepimpinan Khairy manakala ramai ketua Bahagian Umno adalah orang Pak Lah.

"Khairy tidak mempunyai saingan serius di kalangan pemimpin pelapis kecuali sedikit cabaran dari Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr Khir Toyo,"katanya.

Menurutnya lagi, pengaruh Dr Khir agak luas dalam Umno kerana aktivitinya dalam gerakan belia. Menteri Besar Selangor itu merupakan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM). Dan Dr Khir juga mendapat undi tertinggi dalam pemilihan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dalam pemilihan lalu.

"Kita tidak begitu bimbang dengan Dr Khir kerana dia mudah dijinakkan. Dr Khir terhutang budi dengan Pak Lah dan untuk kekal sebagai MB Selangor, dia tidak boleh melawan tauke,"kata pembantu Khairy itu.

Menurutnya lagi, gerak-geri Dr Khir sentiasa dipantau dan ditekan bermula dari insiden penggondolan Taman Pertanian Bukit Cerakah, hinggalah kepada masalah banjir di Shah Alam baru-baru ini.

"Dr Khir sudah berada dalam gengaman Khairy," tegas pembantu menantu Pak Lah itu dengan yakin.

Pengaruh Mukhriz

Beliau bagaimanpun mengakui Mukhriz belum 'berada dalam tangan' Khairy kerana anak Dr Mahathir itu mempunyai keistimewaan dan kumpulan penyokongnya sendiri.

Selain dihormati kerana memiliki bakat dan aura kepimpinan yang baik, beliau menumpang tuah saki-baki pengaruh ayahnya di dalam parti dan kerajaan.

Di samping itu, Muhkriz mempunyai sumber dan kedudukan kewangan yang kukuh serta platform Alumni pelajar MRSM atau Ansara yang sentiasa menyokongnya.

"Rangkaian Ansara amat besar dan berpengaruh terutama di kalangan pelajar, profesional dan sektor korporat," akui pembantu Khairy itu lagi.

Muhkriz juga bergerak cergas dengan Hishamuddin dalam pertubuhan bukan kerajaan Aman Malaysia yang banyak memberi publisiti positif kepadanya.

Beliau juga dilihat sebagai seorang yang berhemah, mesra dan mudah didekati berbeza dengan Khairy yang dilihat agak elitis. Anak Dr Mahathir itu memenangi undi terbanyak dalam pemilihan Exco Pemuda Umno tahun 2004.

"Kita tahu pengaruh Muhkriz tidak boleh dipandang sebelah mata. Selain popular di kalangan anggota Pemuda, dia juga menikmati sokongan orang-orang Dr Mahathir yang masih ramai dalam parti dan kerajaan.

Siapa untung?

"Kami sedar kalau Hishamudin bersaing dengan Khairy dalam jawatan naib presiden, Mukhriz bukan sahaja akan menyokong Hishamuddin, malah akan mengambil kesempatan merebut jawatan Ketua Pemuda yang dikosongkan itu," tambahnya.

Sementara itu pemerhati politik bebas pula berpendapat pengaruh Khairy dalam Umno masih rapuh. Menurut mereka, beliau nampak berpengaruh dan "bertaring" kerana ahli-ahli Umno menghormati Pak Lah.

Kata pemerhati itu lagi, Khairy sedar akan hal ini dan beliau tidak boleh terlalu bergantung kepada pengaruh bapa mertuanya.

Sebab itulah, kata pemerhati tersebut, Khairy berbaik-baik dengan bekas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Khairy tahu penyokong Anwar masih ramai dalam Umno. Dia sedar faktor Anwar boleh membantunya. Lantas dia merasakan tiada rugi membantu Anwar mendapatkan pasport untuk menjalani rawatan di luar negeri, sebaik sahaja beliau dibebaskan, walaupun ada ahli Umno terutama penyokong Najib dan Dr Mahathir tidak menyenangi tindakannya itu," tambahnya.

Menurut pemerhati itu lagi, Khairy juga nampak tergesa-gesa cuba melebarkan pengaruhnya dalam gerakan belia apabila salah seorang penyokong setianya, Exco Pemuda Umno, Reezal Marican Naina Merican cuba merebut jawatan Presiden GPMS.

Malah rombakan kabinet Pak Lah baru-baru ini juga dianalisis oleh para pemerhati politik sebagai percubaan Khairy mengatur 'agenda 2007'.

Sehubungan itu, pemerhati politik berkenaan bertanya, apa tujuannya orang-orang seperti Datuk Mustapha Mohamed, Datuk Radzi Sheikh Ahmad, Datuk Zul Hasnan Rafiq, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor dinaikkan pangkat dan Datuk Seri Rafidah Aziz dan Datuk Noh Omar dikekalkan?

Berdasarkan semua spekulasi dan perkembangan ini, tidak hairanlah, ada pemerhati politik berkata, pemilihan Umno 2004 sebenarnya adalah tapak Khairy menyemai agendanya untuk pemilihan Umno yang akan datang.

Semalam: Khairy Calon Naib Presiden?