Perletakan jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak tidak akan melemahkan parti itu, kata Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Katanya, ini kerana ramai lagi rakyat Sabah yang mahu memimpin dan ingin menyertai parti itu.

Beliau berkata, PKR menjadi satu tarikan baru kepada penduduk Sabah yang bosan dengan pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang tidak memberi apa-apa perubahan kepada mereka.

"Datin Saidatul mengambil keputusan melepaskan jawatan setelah melihat kedudukan PKR Sabah telah mantap dan bergerak dalam keadaan yang baik.

"Sebab utama beliau berbuat demikian ialah kerana mahu menjaga ibunya yang sedang sakit dan sebagai anak perempuan sulung, beliau merasakan bertanggungjawab untuk berbuat demikian," katanya ketika ditanya pemberita dalam program Komentar Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) di Petaling Jaya malam tadi.

Semalam Saidatul yang juga Pengerusi Badan Perhubungan PKR Sabah mengumumkan perletakan semua jawatannya dalam parti kerana mahu menumpukan perhatian terhadap rumah kebajikan yang ditubuhkannya di Kota Belud.

Pilihanraya Sarawak

Beliau bagaimanapun kekal sebagai ahli PKR dan berjanji tidak akan meninggalkan dunia politik.

Mengenai pilihanraya Negeri Sarawak yang dijangka diadakan bila-bila masa, Wan Azizah berkata, PKR sedang mengadakan perbincangan tentang pembahagian kerusi dengan parti pembangkang lain di Sarwak.

"Kita menjangka perbincangan tersebut akan selesai sebelum tarikh pilihanraya negeri diumumkan," katanya lagi.

Dalam perkembangn lain, Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh melahirkan kekesalannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana tidak menunaikan tanggungjawabnya untuk meluluskan permohonan akhbar parti Suara Keadilan.

Katanya, Abdullah pernah berjanji bahawa kerajaan akan meluluskan permit tersebut tetapi sehingga hari ini belum mengotakan kata-katanya.

Beliau berkata, usaha untuk menemui Perdana Menteri bagi membincangkan perkara itu juga gagal.

Wan Azizah juga turut memotong kek sempena ulangtahun ketujuh PKR sebelum berlangsungnya sesi komentar RMK9.