Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kedudukan saya atas budi bicara PM, kata Waytha

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy berkata Dr Mahathir Mohamad mempunyai kuasa penuh dalam menentukan kedudukannya sebagai menteri.

Malah beliau berkata pelantikannya sebelum ini memang dibuat atas budi bicara perdana menteri itu.

“Perdana menteri dah sebut, tak perlulah saya sebut lagi.

“Apa pun, lantikan saya ikut budi bicara perdana menteri. Beliau lebih mengetahui, jadi kita serah kepada beliau,” katanya ringkas dalam sidang media selepas program Penyatuan Rukun Negara, di Putrajaya, hari ini.

Waythamoorthy berkata demikian ketika mengulas keputusan Mahathir berhubung kedudukannya dalam barisan kabinet.

Terdahulu hari ini, Mahathir dalam sidang media di Kementerian Dalam Negeri berkata tiada keperluan untuk menilai semula kedudukan Waytha Moorthy dan kedudukannya sebagai menteri dalam barisan Kabinet kekal.

Pada 3 Januari lalu, Mahathir berkata akan akan membuat keputusan mengenai kedudukan menteri itu selepas menerima laporan penuh inkues kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ia susulan gesaan pelbagai pihak agar jawatan Waytha Moorthy dilucutkan berkaitan isu rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 Subang Jaya, November tahun lalu, yang membawa kepada kematian Adib.

Pada Jumaat lalu, Koroner Rofiah Mohamad, memutuskan punca kematian anggota bomba itu adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa.

Waytha Moorthy didakwa gagal memainkan peranannya untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan mengeluarkan beberapa kenyataan yang dikatakan memburukkan lagi perkara itu.

Lihat Komen
ADS