Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kemakmuran bersama tak boleh hanya tumpu ekonomi

ULASAN | Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang dikatakan pelan besar hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun akan datang telah dilancarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Sebelum meneliti butir-butir spesifik, timbul beberapa persoalan utama berkenaan ketepatan dan kebolehpercayaan dokumen polisi WKB 2030.

Pertama, WKB 2030 dalam bahagian kesimpulan menyatakan bahawa “pecah amanah telah merencatkan matlamat pembangunan negara”.

Selain itu, WKB 2030 digubal dalam keadaan pembangunan negara, pertumbuhan eksport, import dan nilai perdagangan antarabangsa kita menjunam teruk (Jan-Ogos 2019).

Malah, nilai ringgit semakin susut dan pasaran saham pula mencatatkan penurunan sehingga Bursa Malaysia jatuh sebagai pasaran utama tercorot di dunia (April 2019).

Pada masa yang sama, keadaan ekonomi Malaysia semasa agak suram berdasarkan badan penarafan antarabangsa, hutang dan defisit negara semakin meningkat.

Persoalannya sekarang, memandangkan PH sendiri yang mengurus dan mengawal ekonomi, namun masih berlaku segala kejatuhan prestasi yang teruk ini, maka siapakah yang tidak cekap atau telah melakukan pecah amanah sehingga membawa kepada keadaan yang teruk tersebut?

Dan bagaimana pula WKB2030 ini akan dijayakan dalam keadaan sebegini?

Tidak meyakinkan

Kedua, berasaskan realiti ekonomi terkini, ditambah pula dengan tindakan melulu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) menghantar surat kepada negara-negara ASEAN lain tentang perubahan pendirian Malaysia terhadap perkara-perkara yang dibincangkan dalam pusingan akhir rundingan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada saat-saat akhir, prinsip panduan “paksi ekonomi Asia’ yang diketengahkan oleh PH sebagai satu wawasan negara sudah tentulah diragui dan tidak meyakinkan.

Dalam erti kata lain, dasar serta hala tuju di bawah WKB 2030 ini tidak pun melihat dan mengambil kira tindakan dan keputusan sedia ada kerajaan yang nampaknya saling bercanggah.


Baca Kementerian jawab dakwaan Najib isu pengiraan WKB2030


Ketiga, bagaimanakah rakyat jelata dapat mempercayai pelan dan perancangan WKB 2030, sedangkan pengiraan asas yang menjadi dasarnya pun sudah tidak betul?

Sasaran pertumbuhan KDNK negara 4.7% setahun di bawah WKB2030 untuk mencapai sasaran KDNK RM3.4 trilion pada tahun 2030 adalah salah. Kiraan alternatif yang diberikan oleh pelbagai pihak menunjukkan bahawa negara kita sebenarnya memerlukan sekurang-kurangnya 7.36% untuk mencapai angan-angan tersebut.

Saya menuntut pihak kerajaan, khususnya Menteri Hal Ehwal Ekonomi untuk menjawab, mempertahan atau memberikan penjelasan pertikaian berhubung kesalahan pengiraan ini.

Sekiranya pengiraan yang begitu mudah dan asas ini sekali pun sudah tidak boleh dipercayai, bagaimana mungkin untuk kita menerima sahaja segala sasaran berlipat ganda dan pelbagai teras strategik yang lain?

Pengiraan tentang jurang pendapatan, perbandingan pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan negara luar dan beberapa statistik lain nampaknya ditafsirkan secara semberono dan sesuka hati (tanpa mengambil kira kadar inflasi dan nisbah yang betul serta konsep pembangunan dan pertumbuhan) seolah-olah semuanya bertujuan cuba mengaburi mata masyarakat.

Namun, sekalipun terdapat pelbagai kesilapan pengiraan dan kelemahan dalam perkara-perkara asasnya, WKB 2030 telah pun dilancarkan. Maka, sebagai pihak pembangkang yang bertanggungjawab, adalah penting untuk kita memberikan saranan dan ulasan konstruktif agar berlaku proses semak imbang yang wajar.

Bukan prestasi ekonomi semata-mata

Adalah diakui bahawa usaha dan teras strategik untuk membetulkan dan membaik pulih defisit polisi lama negara perlu diteruskan bagi menjamin kesejahteraan dan keterangkuman rakyat Malaysia.

Namun, beberapa isu spesifik perlu diketengahkan.

Pertama, hujah kemakmuran bersama tidak boleh hanya berkisarkan prestasi ekonomi semata-mata. Tetapi ia harus merangkumi kualiti hidup rakyat yang meliputi prestasi tadbir urus, keselamatan dan sekuriti, pendidikan, kebebasan individu dan kelestarian alam sekitar.

Justeru, usaha membangunkan indikator sosial baru termasuk indeks perpaduan, indeks kesihatan rakyat, indeks perubahan iklim dan alam sekitar adalah sesuatu yang diakui baik dan wajar.

Akan tetapi, kerajaan Pakatan Harapan tidak boleh sekadar asyik dengan indeks yang dibangunkan sendiri lalu menafikan penarafan antarabangsa. Sebaliknya, amalkanlah sifat terbuka untuk mengambil kira juga indeks komprehensif yang objektif dan diiktiraf pada skala antarabangsa seperti ‘OECD Better Life Index’, ‘Human Development Index’, ‘World Happiness Report’ dan ‘Social Progress Index’.

Kedua, kayu pengukur dan garis penandaan yang digunakan perlulah sesuai dengan peredaran masa dan konteks terkini.

Analisis terbaru Institut Penyelidikan Khazanah mendapati tidak semua golongan B40 memerlukan bantuan sosial yang sama. Malah, Laporan ‘Penandaan Isi Rumah: Satu Analisis Bersepadu Pendapatan dan Perbelanjaan’ telah mengutarakan bahawa isi rumah B20 lebih memerlukan bantuan kebajikan secara langsung seperti bantuan tunai dan subsidi, manakala M50 lebih memerlukan pemerkasaan dan perluasan akses terhadap peluang menambahkan pendapatan mereka.

Klasifikasi isi rumah turut perlu diperhalusi dengan mengambil kira perbezaan pendapatan dalam lokasi berbeza serta perbezaan saiz isi rumah untuk memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran. Hal ini penting untuk disertakan dalam mekanisme perlaksanaan pengurusan polariti dalam WKB 2030.

Ketiga, adalah penting untuk diingatkan sekali lagi bahawa penghalang utama kepada kemakmuran bersama adalah pendapatan yang melampau tinggi dan tumpuan kekayaan dalam kelompok kecil golongan orang kaya, yang rata-ratanya lahir melalui strategi ekonomi ‘laissez-faire’ dan polisi ‘trickle-down economics’ semasa zaman Perdana Menteri ke-4.

Memandangkan WKB 2030 melaporkan bahawa “75% rakyat Malaysia tidak dapat menyediakan RM1,000 semasa waktu kecemasan” dan “majoriti rakyat Malaysia akan kehabisan tunai dalam masa seminggu sekiranya hilang sumber pendapatan”; polisi ‘trickle-down economics’ tidak boleh diteruskan tanpa berhati-hati.

Jika tidak, sekali lagi kekayaan negara hanya akan dikongsi dengan golongan tertentu sahaja dan hanya mereka yang akan ‘makmur bersama’.

Keempat, bagaimanakah gelombang baru penswastaan akan sehaluan dengan Kemakmuran Bersama?

Adakah usaha untuk mengurangkan peranan kerajaan dalam ekonomi dan pelupusan pelbagai aset strategik negara dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan mewujudkan orang tengah yang mendapat keuntungan atas angin (‘rentier’) sekali lagi?

Akhir sekali, jika Kerajaan Pakatan Harapan telah membuktikan bahawa buku manifesto PRU yang “digubal dengan usaha dan titik peluh pakar strategik dengan kerjasama pakar pelbagai pemegang taruh dan penyelidik” (seperti yang diutarakan oleh Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Parti Bersatu) sekalipun boleh diketepikan begitu sahaja, sehinggakan Perdana Menteri baru-baru ini mengakui kerajaan berdepan kekangan tertentu untuk memenuhi setiap janjinya, apakah jaminan yang kita ada bahawa WKB2030 ini akan dilaksanakan dengan serius dan tidak berdepan dengan nasib yang sama?

Jangan sampai WKB 2030 ini tidak lebih dari sekadar satu lagi retorik politik terdesak yang dibentangkan menggunakan angka-angka yang salah dan tidak tepat.


ISMAIL SABRI merupakan ketua pembangkang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini

Lihat Komen
ADS