Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Label ‘pendatang asing’ - saya tak perlu, tak mahu komen, kata Waytha

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy enggan melayan soalan berhubung kenyataan Dr Mahathir Mohamad yang melabelkan kumpulan minoriti di negara ini sebagai pendatang asing.

“Saya tidak perlu (komen), saya tidak mahu komen,” katanya kepada pemberita di Putrajaya petang ini.

Ahad lalu sewaktu Kongres Maruah Melayu di Shah Alam, perdana menteri berkata orang Melayu terpaksa menerima "pendatang asing" demi untuk mendapatkan kemerdekaan daripada pihak British.

Zainal Kling

Disoal sama ada pendiriannya mengenai kongres itu telah berubah susulan ucapan berapi-api yang berunsur hasutan, Waytha berkata semua orang berhak mengadakan untuk berhimpun secara aman.

“Saya telah kata pada hari itu bahawa semua orang berhak untuk berhimpun secara aman dan meluahkan pendapat masing-masing.

“Sudah tentu, saya berpegang kepada apa yang saya katakan,” kata menteri itu yang bertanggungjawab terhadap portfolio perpaduan negara.

Berhubung, kenyataan ketua eksekutif sekretariat program itu, Prof Zainal Kling yang mendakwa bahawa “Malaysia milik orang Melayu” semasa ucapan perasmiannya, Waytha berkata beliau akan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak polis.

“Kalau ucapan dia salah...Saya difahamkan bahawa ada yang sudah membuat laporan (polis). Biarkan pihak berkuasa membuat keputusan," katanya.

Menteri itu kemudian menegur wartawan yang menghalangnya untuk menumpukan perhatian kepada forum Rukun Negara yang dihadirinya dan sebaliknya melemparkan soalan-soalan yang tidak berkaitan kepadanya.

Waytha juga menolak untuk menjawab soalan tentang bagaimana perasaannya setelah dilabel sebagai “pendatang asing” oleh perdana menteri.

Wartawan pada awalnya dimaklumkan bahawa satu sidang media akan diadakan selepas forum itu namun dibatalkan berikutan jadual menteri yang padat.

Sebelum ini, Waythamoorthy dilaporkan berkata beliau tidak melihat sebarang masalah dengan kehadiran Mahathir ke kongres yang dianjurkan bersama oleh empat universiti awam itu.

Penganjur mendakwa bahawa kongres itu sebagai tindak balas kepada pihak tertentu yang mencabar kedudukan orang Melayu dan Islam.

Semalam, ahli parlimen DAP Ramkarpal Singh mengkritik Mahathir atas kenyataannya yang melabel kumpulan minoriti di neagara ini sebagai "pendatang asing" dan menggesa beliau untuk turut bertindak ke atas Zainal.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS