Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Hanya PAS dan Umno mampu laksana resolusi kongres Melayu'

Pengerusi Assabiqun PAS, Subky Latif, berkata beliau tidak yakin kerajaan PH mampu melaksanakan resolusi yang dihasilkan semasa Kongres Maruah Melayu baru-baru ini.

Tambah veteran PAS tersebut beliau menjangkakan resolusi tersebut akhirnya akan terpaksa dilaksanakan oleh parti PAS dan Umno sendiri.

“Kalau kita tengok, siapa boleh laksanakan? PH? Taubat mereka tidak boleh buat.

“Resolusi itu sudah ada platform yang baik, malah pemimpin Umno dan PAS juga hadir pada kongres itu.

"Saya yakin kita (PAS dan Umno) saja yang boleh laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum Muafakat Nasional - Antara Impian dan Harapan di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur semalam.

Naib Presiden Umno, Mohamed Khalid Nordin, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, dan Pengerusi Veteran Umno, Othman Desa, turut tampil sebagai anggota panel.

Kira-kira 150 orang menghadiri forum tersebut, termasuk dalam kalangan penyokong MIC dan MCA.

 

Pada 6 Okt lalu, Kongres Maruah Melayu menghimpunkan kira-kira 5,000 peserta yang hadir di Stadium Malawati Shah Alam untuk membincangkan mengenai masa depan orang Melayu. 

Acara utama kongres tersebut ialah amanat yang disampaikan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang antara lain membangkitkan resolusi berkenaan ekonomi, pendidikan dan budaya.

Sejumlah resolusi dikeluarkan di akhir kongres tersebut, termasuk menyentuh mengenai bidang pendidikan dan ekonomi.

Antaranya kongres tersebut menuntut sistem persekolahan disatukan dan sekolah vernakular ditiadakan secara beransur-ansur, serta hanya orang Islam dilantik ke jawatan strategik kerajaan, termasuk menteri kewangan dan peguam negara.

Sementara itu, Othman berkata resolusi kongres berkenaan boleh memberi manfaat kepada orang Melayu jika dilaksanakan, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia mampu diterjemah oleh PH sebagai kerajaan atau tidak.

Untuk rekod, Umno dan PAS menjalinkan kerjasama politik secara rasmi pada 14 Sept lalu dengan termeterainya Piagam Mufakat Nasional.

Piagam berkenaan ditandatangani Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Lihat Komen
ADS