Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Insentif Belanjawan 2020 mampu wujud 350,000 pekerjaan dalam 5 tahun'

Kerajaan yakin insentif yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 akan mampu mewujudkan 350,000 pekerjaan dalam masa lima tahun, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Bercakap dengan pemberita di Parlimen, Lim berkata mekanisme pelaksanaan insentif untuk graduan menganggur, bukan graduan dan bakal majikan akan diumumkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Di bawah skim #GraduanKerja Belanjawan 2020, mereka yang mendapat kerja selepas menganggur lebih setahun akan menerima insentif RM500 sebulan selama dua tahun, sementara majikan menerima RM300 untuk tempoh sama.

"Kami faham majikan tidak boleh bayar gaji begitu tinggi, tetapi pekerja tak akan terima kerja jika bayaran terlalu rendah, jadi kami mahu memberi insentif dan motivasi kepada graduan menganggur dan bukan graduan untuk bekerja.

:Kami yakin penyelesaian ini akan membantu mewujudkan 350,000 kerja dalam masa lima tahun," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini, selepas sesi taklimat Belanjawan 2020 kepada semua wakil rakyat Pakatan Harapan (PH).

Katanya lagi, KWSP diberi kepercayaan untuk merangka mekanisme dan melaksanakannya kerana kerajaan ada "keterbatasan dalam apa yang mampu dilakukan".

Beliau berkata idea kasar skim itu ialah untuk memberikan insentif kepada graduan dan juga bukan graduan untuk mencari kerja, serta majikan untuk mengambil mereka.

Selain #GraduanKerja, inisiatif #MalaysiaKerja juga merangkumi skim #WanitaKerja (untuk wanita yang ingin kembali ke pasaran kerja), #WatanKerja (program kesamarataan kos pengambilan pekerja bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing) dan #PerantisKerja (insentif Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional - TVET).

Mengulas isu berlainan, Lim berkata syarikat yang berhasrat mengambil alih Plus Malaysia perlu memenuhi dua syarat.

Katanya, syarat pertama ialah memastikan ada purata pengurangan minimum 18 peratus terhadap kadar tol semasa, dan yang kedua ialah memastikan tiada kenaikan terhadap beban hutang dan khidmat hutang yang perlu ditampung kerajaan.

Dalam pembentangan semalam, Lim mengumumkan potongan purata 18 peratus di semua lebuh raya milik Plus - sebagai usaha penghapusan tol secara berperingkat - tetapi tidak menyatakan perincian, termasuk tarikh pelaksanaannya.

Lihat Komen
ADS