Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kayveas dakwa myPPP dapat banyak tawaran bergabung

Presiden myPPP, M Kayveas, mendakwa "banyak" parti politik - termasuk dari Sabah dan Sarawak - menawarkan diri untuk bergabung selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menarik balik pembatalan parti tersebut.

Bercakap di sidang medianya di Ibu Pejabat myPPP hari ini, Kayveas berkata beliau akan membincangkan hal itu selepas beberapa syarat yang ditetapkan ROS diselesaikan.

"Selepas ROS menarik balik pembatalan parti, saya terima banyak panggilan dari Sabah, Sarawak dan semenanjung untuk bergabung dengan myPPP.

"Tapi, saya beritahu mereka, kami akan bincang kemudian. Saya akan aturkan dengan cara baik dan kita akan pergi ke peringkat seterusnya," katanya kepada pemberita.

Namun, ditanya sama ada parti yang menghubungi itu adalah daripada PH atau pembangkang, Kayveas enggan memberikan butiran lanjut.

Terdahulu, pada 7 Okt lalu ROS memberi kelulusan bersyarat kepada myPPP yang dibatalkan pendaftaran kesan pertikaian domestik sebelum PRU ke-14 yang lalu.

Antara syarat yang diletakkan ialah parti tersebut perlu bermesyuarat untuk menubuhkan satu badan bebas bagi mengawal dan mengadakan pemilihan parti sebelum 31 Dis ini.

Tak ada masa bergaduh

ROS turut menyatakan jawatankuasa parti bagi penggal 2014-2019 bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu pertikaian myPPP.

Sementara itu, Kayveas sekali lagi menegaskan myPPP terbuka kepada sesiapa saja yang bersedia membina semula parti, tetapi bukan untuk pihak yang khianat.

"Gesaan saya kepada mereka, tinggalkan kesilapan anda, baiki kerosakan dan bina semula parti dengan meninggalkan semua agenda yang mementingkan diri," tegasnya.

"Saya tiada masa untuk bergaduh. Ini peluang kedua diberi ROS kepada mereka. Kalau masih mementingkan diri, maafkan... tiada tempat di parti," tambahnya lagi.

Semalam satu lagi kem MyPPP diketuai oleh Naib Presiden, Maglin Dennis D'Cruz, meminta Kayveas perlu berhenti mengelirukan ahli parti.

Mereka turut mendakwa Kayveas tidak berhak mengiktiraf dirinya sebagai presiden kerana surat daripada ROS tidak mengiktiraf Kayveas sebagai presiden.

Lihat Komen
ADS