Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR, kerajaan P Pinang anjur dialog tentang Islam, Konfusianisme

PKR dengan kerjasama kerajaan Pulau Pinang akan menganjurkan program dialog mengenai Islam dan Konfusianisme dari 30 November hingga 1 Disember ini.

Presidennya Anwar Ibrahim berkata, dialog itu agar orang Islam dan bukan Islam dapat mengenali agama satu sama lain.

"Kita tidak patut ada bicara yang boleh meruntuhkan nilai-nilai kerjasama (antara kaum).

"Jadi kita nak mulakan naratif....persidangan bagi saling memahami dan menghormati, agar yang bukan Islam dapat hayati Islam dari pakar seperti Mufti Pulau Pinang (Wan Salim Wan Mohd Noor) dan yang lain.

"Orang Islam dengar (tentang) Konfusianisme yang bercakap tentang soal kemanusian dan ehsan yang tidak bercanggah dengan Islam," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Konvensyen PKR Pulau Pinang di Bukit Mertajam, hari ini.

Ditanya sama ada dialog itu sebagai respons kepada Kongres Maruah Melayu yang baru diadakan, Anwar menafikannya dengan berkata dialog itu telah dirancang sejak tiga bulan lalu.

Dialog selama dua hari itu akan diadakan di Spice Arena di Bayan Baru, dan akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Chow dan Anwar akan menyampaikan ucaptama berkenaan topik dialog tersebut.

Kongres Maruah Melayu diadakan pada 6 Oktober lalu dan dihadiri sejumlah pemimpin Umno, PAS dan juga Pakatan Harapan (PH).

Sejumlah pihak menyuarakan rasa tidak senang dengan kongres itu, termasuk terhadap ucapan ketua eksekutif sekretariatnya Prof Zainal Kling berhubung kontrak sosial.

Anwar berkata lagi, partinya telah mengadakan forum seumpamanya berkenaan kemiskinan, reformasi dan tadbir urus untuk anggota parlimen dan senator di Parlimen.

“Kita harus hadapi (tangani) isu ras (perkauman) dikalangan orang Islam agar faham agama, kerana tanpa fahaman agama, akan terjerumus kepada pemahaman cauvinis.

"Kalau bukan Islam pula, (sebahagian) terdorong kepada Islamofobia, Sebut (tentang Islam) sedikit saja (kata Islamisasi). Kita mahu mengundang orang bukan Islam untuk lebih tahu tentang Islam.

"Kita nak angkat fahaman agama yang positif dan sederhana...Ini bukan situasi kalah-menang (zero sum game)," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS