Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Malaysia ke arah jadi pembekal gelatin halal dunia
Diterbitkan:  Oct 14, 2019 1:13 PM
Dikemaskini: 5:13 AM

PARLIMEN l Malaysia kini mengorak langkah untuk menjadi pembekal gelatin halal bagi pasaran global, kata Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof.

Mohd Redzuan berkata, pelaksanaan inisiatif itu akan mengurangkan import gelatin halal negara sebanyak 30 peratus.

"Ia sekali gus meningkatkan peluang Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) untuk terlibat secara kompetatif di dalam rantaian bekalan gelatin halal," katanya semasa sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Halimah Mohamed Saddique (BN-Kota Tinggi) yang ingin tahu mengenai program bersifat 'high impact' yang dirancang oleh kementerian untuk merealisasikan Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN2030).

Mohd Redzuan berkata inisiatif untuk menjadi pembekal gelatin halal itu adalah antara langkah kementerian dalam meneroka industri memberi impak yang tinggi kepada usahawan tempatan susulan mandat kepada kementerian untuk membangunkan industri halal melalui Jawatankuasa Pembangunan Industri Halal.

Jelasnya, kementerian berfungsi sebagai pemudahcara proses dan prosedur usahawan tempatan yang memenuhi kriteria untuk mengeksport produk halal ke pasaran antarabangsa.

"Contohnya, melalui penganjuran Malaysia Halal Ekspo 2019 awal tahun ini berjaya merekodkan jualan RM135 juta hasil 'business matching' antara 21 syarikat 'anchor' dengan 144 syarikat pempamer yang terdiri daripada PKS tempatan.

“Usaha akan dipergiatkan lagi sempena Sukan Olimpik Tokyo 2020 bagi memberi peluang kepada PKS tempatan mendapat akses lebih luas untuk mempromosi produk dan perkhidmatan," katanya.

Sementara itu, Mohd Redzuan berkata selaras dengan DKN2030, kementerian melalui SME Corporation juga dalam usaha untuk membangunkan industri aeroangkasa yang dikenal pasti sebagai industri yang memacu ekonomi negara ke tahap lebih tinggi melalui program Aerospace Manufacturing Initiative (AMI).

"Sehingga September lepas, 30 PKS telah menyertai program AMI dan RM58.9 juta jumlah jualan berkaitan industri aeroangkasa telah dijana," katanya.

Mohd Redzuan berkata, AMI dilihat mampu membuka peluang kepada PKS untuk meneroka pasaran perniagaan berskala sederhana dan besar termasuk menjadi pengedar utama kepada syarikat aeroangkasa berpengaruh di dunia seperti Boeing, Airbus, Bombadier, Mitsubishi dan Kawasaki.

- Bernama

Lihat Komen
ADS