Pemimpin Bersatu sifatkan kehadiran di Dewan Rakyat ‘agak teruk’
Anggota majlis tertinggi Bersatu Rais Hussin menyifatkan kehadiran ahli parlimen pada persidangan semasa di Dewan Rakyat sebagai “amat teruk”.
Dalam ciapan di Twitter pagi ini, beliau mempersoalkan bagaimana untuk meningkatkan kehadiran itu, lebih-lebih lagi memandangkan Belanjawan 2020 sedang dibahaskan.
"Kehadiran ewakil rakyat pada sidang parlimen ini agak teruk terutama apabila isu-isu penting seperti Belanjawan 2020 sedang dibahaskan.
"Bagaimana untuk meningkatkan kehadiran di Parlimen dan mengurangkan mereka berponteng? Ada apa-apa idea?" soalnya.
Semalam, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin memuatkan imej pada Instagram yang memaparkan Dewan Rakyat kosong.
"Saya berucap di hadapan 'khalayak' ini, iaitu kerusi hadapan untuk wakil kerajaan pada hari pertama perdebatan Belanjawan," katanya dengan menyertakan foto itu.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu membahaskan Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Jumaat lalu.

