Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lawyer for Liberty gesa k’jaan segera mansuh Sosma
Diterbitkan:  Oct 17, 2019 1:09 PM
Dikemaskini: 5:09 AM

Lawyers for Liberty (LFL) meluahkan rasa bimbang susulan pengumuman kerajaan bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma tidak akan dimansuhkan tetapi sebaliknya sekadar dipinda.

Pengarahnya, Melissa Sasidaran berasa kerajaan baru tidak perlu diingatkan tentang bagaimana Sosma disalahguna pada masa lalu, termasuk menjadikan mereka yang menentang kerajaan dan pembangkang sebagai sasaran.

“Undang-undang penindasan ini tidak boleh secara ajaib bertukar menjadi undang-undang yang adil hanya kerana PH yang berkuasa hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sasidaran berkata Sosma gagal bertindak secara adil dan tidak menepati piawaian antarabangsa, yang menjadi hak asas yang wajar diberikan kepada sesiapa yang berdepan dengan sesuatu pertuduhan jenayah.

“Bukti yang lazimnya tidak diterima dalam perbicaraan jenyah bakal diterima jika dalam perbicaraan Sosma.

“Ini termasuk keterangan yang diperolehi secara penindasan, penyeksaan dan malah juga fabrikasi kerana bukti yang dikemukakan itu biasanya akan diterima tidak kira bagaimana ia diperolehi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata tertuduh juga tidak akan dapat mencabar atau memeriksa balas kebanyakan bukti yang diterima di bawah Sosma kerana, akta itu membenarkan saksi yang dilindungi memberi keterangan tanpa mendedahkan identiti mereka dan dengan itu melanggar asas perbicaraan yang adil.

Sehubungan itu, Sasidaran menggesa agar kerajaan supaya segera memansuhkan Sosma dan undang-undang penindasan yang lain.

"Malaysia tidak boleh mendakwa dirinya sebagai negara demokrasi sementara undang-undang drakonian ini masih wujud dalam buku statut kita,” katanya.

 

Untuk rekod, PH dalam manifesto pilihanraya tidak berjanji untuk memansuhkan Sosma namun berkata akan menghapuskan peruntukan tertentu dalam undang-undang drakonian, yang antaranya termasuk Akta Sosma, Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota), Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Kanun Keseksaan 1997.

Bagaimanapun, pada Julai tahun lalu sejurus selepas PH menang pilihan raya umum ke-14, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beberapa undang-undang penindasan termasuk Sosma akan dimansuhkan.

Katanya, akta berkenaan telah membenarkan kerajaan terdahulu untuk menahan sesiapa sahaja tanpa perlu ke mahkamah.

Bekas pemimpin Umno Khairuddin Abu Hassan, peguam Matthias Chang dan bekas pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah adalah antara individu yang pernah ditahan di bawah akta berkenaan.

Terbaharu, 12 individu termasuk dua Adun DAP telah ditahan di bawah akta Sosma ekoran dakwaan mempunyai hubungan dengan LTTE Sri Lanka.

Penggunaan akta tersebut menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati beberapa pemimpin di kalangan PH. Undang-undang itu membolehkan pihak polis menahan mana-mana individu sehingga 28 hari tanpa perbicaraan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS