Paling Popular
Terkini

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) “masih diperlukan” berdasarkan perkembangan yang berlaku di peringkat negara dan antarabangsa berhubung isu-isu pengganas.

Katanya, undang-undang lain sedia ada didapati tidak memadai untuk mengekang keganasan.

“Jadi bagi kita, Sosma ini masih diperlukan.

“[...] Kalau tidak ada instrumen undang-undang sebegitu, jadi mereka ini (penjenayah keganasan) akan terlepas daripada cengkaman undang-undang dan ini akan menimbulkan bahaya kepada keselamtan negara.

“Kalau ikut undang-undang sedia ada tak memadai, dan cara mereka bertindak ini di luar batas undang-undang [...],” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Pendaftaran Negara di bangunan Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya hari ini.

Semalam Menteri Pertahanan juga mencadangkan agar Sosma tidak perlu dimansuhkan.

Menurut Muhyiddin, manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14, tidak menyatakan bahawa mereka akan menghapuskan Sosma. Sebaliknya apa yang dijanjikan adalah untuk meneliti bab atau fasal dalam Sosma yang boleh diperbaiki.

“Sila semak (manifesto).

“Yang kita janjikan ialah untuk meneliti mana-mana bab atau fasal dalam Sosma yang boleh diperbaiki ,” katanya.

Pada Mei lalu, Muhyiddin pernah menyatakan bahawa rang undang-undang (RUU) pindaan Sosma dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada sesi Julai, namun ia tidak menjadi kenyataan.

Malah ia juga tidak dimasukkan dalam aturan urusan mesyuarat bagi sidang yang sedang berjalan.

Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Aziz Jamman berkata bahawa RUU itu tidak akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat kali ini memandangkan pihaknya memerlukan masa untuk sebelum ia dibentang di Parlimen.

Sementara itu, menurut Muhyiddin, kajian terhadap RUU untuk meminda Sosma yang dimulakan tahun ini, telah dibawa ke kabinet, namun kabinet berpendapat ada lagi perkara yang perlu diperhalusi.

Oleh itu, kata Muyiddin, penilaian diteruskan dengan menjalankan libat urus dengan pelbagai badan dan pertubuhan supaya apabila dibawa ke kabinet dan parlimen, “banyak pihak akan berpuas hati”.

Katanya, banyak perkara perlu diteliti sebelum membuat pindaan, antaranya melibatkan soal akses kepada khidmat guaman, tempoh reman yang dikatakan terlalu lama.

“Jadi apa pun, mungkin tak akan sempat (dibentangkan ketika) sesi parlimen ni, kita akan bawa ke penggal awal tahun 2020. InsyaAllah,” katanya.

Muhyiddin turut diminta mengulas penahanan beberapa suspek dikaitkan dengan kegiatan LTTE baru-baru ini, termasuk dua daripadanya yang terlibat dalam serangan ke atas seorang pesuruhjaya Sri Lanka di KLIA pada 2016.

Nur Jazlan Mohamed

Pada masa itu Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed ketika itu menyifatkannya sebagai kes terpencil.

"Waktu zaman dia (Jazlan) terpencil, waktu zaman kita sekarang ini sudah tiga tahun, polis sudah memantau dalam satu tempoh jangka masa yang agak panjang, dan bukti-bukti sudah ada.

"Apa-apa pun, kita serahkan kepada pihak polis, timbalan pendakwa raya dan mahkamah, (sama ada) akan dituduh, dan kita akan tahulah apa keputusannya kemudian nanti," katanya lagi.

Sebelum ini Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, terdapat transaksi kewangan dalam jumlah yang besar untuk membiayai, mempromosi, merekrut dan menggerakkan program berkaitan kumpulan militan itu.

Setakat ini menahan 12 individu termasuk dua Adun DAP telah ditahan dalam siasatan polis berkenaan LTTE.

Lihat Komen
ADS