Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu peralihan kuasa: Mahathir perlu berterus terang, kata MP Klang
Diterbitkan:  Oct 17, 2019 6:58 PM
Dikemaskini: 11:27 AM

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago membidas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang sering-kali memberi jawapan yang menimbulkan lebih banyak soalan berhubung penyerahan kuasanya kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Katanya, Mahathir perlu memberikan jawapan secara berterus terang dengan jelas.

"Kenapa dia tidak memberi jawapan konkrit kepada wartawan yang bertanya mengenai kemungkinan pembangkang membentuk kerajaan baru dengan Bersatu, tetapi menjawab 'mereka boleh cuba'," kata Charles dalam satu kenyataan hari ini.

"Mahathir seharusnya berusaha keras untuk menyampaikan mesej bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan terus kekal, dan dia tidak mempunyai niat untuk meninggalkan rakan-rakannya.

"Kita ada tugas yang perlu dilakukan - meningkatkan ekonomi, mewujudkan pekerjaan yang mampan, mengurangkan harga barang keperluan, mengurangkan jenayah dan banyak lagi.

“Politiking dan pergelutan untuk kuasa tidak ada dalam senarai," kata Charles yang mengkritik perdana menteri pada bulan Ogos kerana membuat keputusan sepihak dan memberikan jawapannya dengan sinis.

Charles berkata adalah tidak wajar bagi pembangkang untuk mencuba dan membuat tawaran pintu belakang "seperti yang dikhabarkan dilakukan oleh Hishammuddin Hussein.”

Beliau berkata, bahawa Mahathir mesti menghantar mesej kepada pembangkang untuk berhenti berbuat demikian dan tidak lupa bahawa mandat PH adalah daripada rakyat.

Mandat itu termasuk penyerahan kuasa yang dijanjikan kepada Anwar.

"Rakyat Malaysia menolak Umno dan BN (pada PRU14), oleh itu, sukar dibayangkan bahawa pembangkang masih berusaha dengan cara yang licik untuk memanipulasi jalan untuk kembali berkuasa.

"Ini adalah satu perkara yang memalukan," kata Charles.

Beliau menambah bahawa pertemuan antara beberapa anggota pembangkang, termasuk Hishammuddin, dan Dr Mahathir turut tidak membantu.

Pada Ogos tahun ini, Mahathir, bersama-sama dengan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, bertemu dengan Hishammuddin, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan ketua Gabungan Parti Sarawak (GPS) Fadillah Yusof.

Mahathir kemudian meremehkan pertemuan itu sebagai "tidak ada yang baru" dan dia berjumpa dengan semua pihak termasuk NGO.

"Ini membuat khabar angin tersebar dan mengancam kepercayaan antara rakan-rakan PH," kata Charles.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS