Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam cabar penahanan 5 individu di bawah Sosma

Dua Adun DAP dan tiga individu lain akan memfail untuk mencabar penahanan mereka di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) selepas dikaitkan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Peguam Ramkarpal Singh (di atas) memberitahu Malaysiakini bahawa beliau akan memfailkan permohonan habeas corpus di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur esok bagi pihak Adun Seremban Jaya P Gunasekaran, Adun Gadek G Saminathan dan tiga yang lain.

"Kami akan memfailkan permohonan itu sejurus sebelum tengah hari, dan mengadakan sidang akhbar selepas itu," kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor kepada Malaysiakini hari ini.

The Star sebelum ini mengenal pasti tiga lagi tahanan Sosma itu sebagai S Chandru, V Suresh Kumar dan S Arivainthan.

Permohonan habeas corpus adalah prosedur undang-undang untuk mencabar di mahkamah suatu penahanan atau pemenjaraan yang disifatkan menyalahi undang-undang.

Kedua-dua Adun DAP itu adalah sebahagian daripada sekumpulan tujuh individu yang ditangkap pada 10 Okt kerana disyaki mempunyai kaitan dengan LTTE.

Susulan itu, pada 12 Oktober, lima lagi suspek telah ditangkap di Melaka semasa operasi polis.

Minggu lalu, Ramkarpal dilaporkan berkata beliau akan mencabar untuk mendapatkan hak meletakkan jaminan bagi pihak individu yang ditahan kerana perkara itu tidak dibenarkan di bawah Sosma.

Suspek yang ditahan di bawah Sosma boleh ditahan tanpa perbicaraan selama 28 hari. Polis, bagaimanapun, mempunyai kuasa untuk menahan mereka secara berkala 28 hari setiap kali.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS