Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Bagan Serai pernah dilanggar penghantar makanan
Diterbitkan:  Oct 22, 2019 12:32 PM
Dikemaskini: 4:32 AM

PARLIMEN | Anggota Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali, hari ini 'mengadu' kepada Dewan Rakyat hari ini bahawa beliau pernah dilanggar oleh penghantar makanan Foodpanda.

Mengemukakan soalan tambahan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai isu kebajikan dan undang-undang bagi sektor ekonomi gig, Noor Azmi bertanya, adakah pekerja perkhidmatan itu mempunyai dokumen lengkap dan sepatutnya sebelum memulakan kerjaya tersebut.

Anggota parlimen Bersatu itu juga bertanya sama ada pekerja terbabit pernah mendapatkan taklimat mengenai peraturan di jalan raya.

“Adakah dalam gig economy ini, contohnya dalam syarikat Foodpanda, memastikan semua yang menghantar makanan ini mempunyai lesen, road tax (cukai jalan kenderaan), insurans yang sah?

“Dan adakah mereka ini telah diberi taklimat dan nasihat mengenai undang-undang dan tatatertib di jalan raya?

"Tan Sri Speaker, saya pernah dilanggar oleh Foodpanda,” katanya.

Menjawab soalan itu Mahathir menjelaskan Foodpanda merupakan satu daripada syarikat yang terawal diperkenalkan dalam sektor ekonomi gig di negara ini.

Oleh itu, katanya, ketika ia diperkenalkan tiada undang-undang dan peraturan yang termaktub untuk majikan serta pekerja dalam sektor tersebut.

“Pada masa mereka perkenalkam sistem ini, kita tidak pun mahir berkenaan dengan perkataan gig economy pun.

"Sebab itu pada mulanya, kita tidak ada peraturan-peraturan atau pun undang-undang," katanya.

Mahathir menambah ada kemungkinan pekerja terbabit dianiaya majikan masing-masing.

"Sebab itu hari ini kita ingin tentukan supaya undang-undang dan peraturan-peraturan, yang mana kalau majikan langgar, maka tindakan boleh diambil terhadap mereka,” katanya. 

Lihat Komen
ADS