Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda DAP: Desakan sisih parti lain dalam PH 'pendek akal'
Diterbitkan:  Oct 23, 2019 3:52 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Pemuda DAP berpendapat sebarang gesaan untuk PH membentuk kerajaan dengan mengesampingkan mana-mana parti komponennya bersifat "pendek akal" serta tidak munasabah.

Ketuanya, Howard Lee, berkata setiap parti komponen PH mempunyai kelebihan masing-masing dan menyumbang dengan cara tersendiri untuk membentuk kerajaan.

Justeru, katanya Lee, sebarang gesaan ke arah memecah-belahkan PH sebenarnya perangkap yang dipasang pihak yang mengutamakan kepentingan politik peribadi berbanding kesejahteraan negara.

"Desakan untuk membentuk kerajaan tanpa mana-mana parti komponen dalam PH adalah panggilan yang pendek akal dan tidak munasabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnile Liu, menjadi perhatian pemimpin Bersatu selepas memberikan pandangan berhubung perkembangan politik semasa semalam.

Menurut Liu, PH masih boleh membentuk kerajaan pusat melalui penguasaan kerusi di Dewan Rakyat oleh anggota parlimen PKR, DAP, Amanah, Warisan dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko).

Untuk rekod, empat parti utama membentuk PH secara langsung ialah Amanah, PKR, DAP dan Bersatu.

Hormati mekanisme sedia ada

Kenyataan itu muncul ketika isu komik garapan bekas anggota DAP, Hew Kuan Yau, mencetuskan masalah kepada kerajaan PH apabila diedarkan di sekolah-sekolah tanpa kebenaran.

Pagi tadi Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, menganggap kenyataan Liu sebagai biadab apabila dianggap merendah-rendahkan parti komponen PH.

"Saya juga ingin menggesa pimpinan DAP mendisiplinkan ahli-ahli mereka agar menghormati keputusan kerajaan dan patuh terhadap perlembagaan dan undang-undang negara," katanya.


Baca Maszlee: Tindakan Liu biadab


Ekoran perkembangan itu Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, mengumumkan akan merujuk Liu ke jawatankuasa disiplin parti berkenaan kerana dianggap tidak bertanggungjawab serta mensabotaj PH.

Lee berkata Pemuda DAP menyokong penuh tindakan tegas Loke kerana kenyataan dibuat Liu tidak bertanggungjawab dan menjejaskan kesepakatan PH.

Anthony Loke

"PH sudah menjayakan pelbagai agenda rakyat sejak kemenangannya dalam PRU ke-14.

"Pencapaian ini tidak akan diperolehi tanpa sokongan padu semua parti komponen PH.

"Tiada siapa pun dalam PH boleh mendesak mana-mana parti komponen untuk disisihkan daripada gabungan ini," katanya.

Pada masa sama, exco Perak dan Adun Pasir Pinji itu menyatakan, setiap parti mempunyai mekanisme sendiri untuk menguruskan sebarang isu membabitkan anggota masing-masing.

"Perlu diingat, pihak luar tidak wajar masuk campur urusan dalaman parti lain, manakala setiap pertikaian antara parti perlu dirujuk kepada Majlis Presiden PH.

"Semua pihak perlu menghormati mekanisme yang telah ditentukan ini supaya ia dapat menjalankan fungsinya sebaik mungkin," katanya.

Lihat Komen
ADS