Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ronnie: Saya bersedia, tetapi bagaimana dengan Azmin?
Diterbitkan:  Oct 24, 2019 12:50 PM
Dikemaskini: 4:50 AM

Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu bersedia berdepan dengan jawatankuasa disiplin parti itu berhubung kenyataannya mengenai Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Bersatu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Adun Sungai Pelek itu turut mengheret sama Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

“Jika desakan supaya tindakan terhadap saya dikatakan adalah wajar, mengapa tidak ada tindakan yang diambil terhadap Mohammed Azmin Ali yang secara terbuka menolak konsensus Pakatan Harapan mengenai penyerahan jawatanh perdana menteri?” katanya tanpa mengulas lanjut.

Liu, yang mempertahankan dirinya berkata beliau tidak melakukan sebarang kesalahan. Menurutnya sebagai penyokong setia PH, adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawapnya sebagai wakil rakyat untuk bersuara bagi pihak rakyat.

“Dengan berbuat demikian saya dapat mengekalkan nilai-nilai demokrasi yang kita amalkan di DAP.

“Sama ada di hadapan jawatankuasa disiplin parti atau sebaliknya, saya akan terus mempertahankan hak kebebasan bersuara,” katanya.

Semalam, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata Liu akan dirujuk kepada jawatankuasa tatatertib parti mengenai artikelnya yang diterbitkan di Malaysiakini pada Selasa lalu.

Dalam artikel itu, beliau membidas prestasi Dr Mahathir dan berkata sekiranya pengerusi Bersatu itu cuba memecahkan PH, sekutu lain - DAP, PKR, Amanah, Warisan dan UPKO - masih boleh bergabung dan membentuk kerajaan baru tanpa Bersatu.

[Baca kenyataan penuh]

Lihat Komen
ADS