Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jangan biar pelaku jenayah seksual kanak-kanak terlepas akibat kurang dana'

Hannah Yeoh memuji pengakuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui KEong berkenaan kelemahan dalam mendapatkan keterangan saksi daripada mangsa kanak-kanak kes kesalahan seksual.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata ia menunjukkan tiada apa yang cuba disembunyikan dan mengenal pasti keterbatasan adalah satu perkembangan positif.

Dalam jawapan lisan di Parlimen selasa lalu, Liew berkata kekurangan kemudahan, peralatan yang rosak dan kekurangan latihan di kalangan pegawai merupakan antara punca kekangan dalam mendapatkan keterangan saksi daripada mangsa kanak-kanak.

Yeoh berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Liew dalam memastikan kelemahan dapat diperbaiki.

"Kita perlu ada kemajuan...Semua orang, kerajaan, kehakiman, NGO dan keluarga perlu bersama-sama untuk memastikan anak kita selamat dan pelaku tidak terlepas hanya kerana kekurangan dana.

"Saya sentiasa berpandangan jika kita ada cukup wang untuk bola sepak, acara di hotel dan elaun perjalanan untuk menteri, kita pastinya ada cukup (dana) untuk kanak-kanak," katanya kepada Malaysiakini.


Baca: 'Tiada dana dan latihan' - Sebab k'jaan bergelut beri keadilan pada mangsa cabul kanak-kanak


Sementara itu, beliau juga memaklumkan usaha berterusan kerajaan dalam melindungi kepentingan kanak-kanak.

Antaranya ialah memastikan sumber dan dana diperuntukkan di bawah belanjawan persekutuan untuk menjamin "kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak terjaga".

Kementerian itu turut berusaha menaikkan jumlah pelindung kanak-kanak untuk menguatkasakan Akta Kanak-kanak.

Katanya lagi, Kementerian Dalam Negeri pula akan meningkatkan jumlah kakitangan dan sumber dalam Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman "untuk memastikan penyiasatan pantas untuk kes berkaitan kanak-kanak".

Selain itu, beliau berkata satu sistem berkenaan Daftar Kanak-kanak yang lebih menyeluruh akan diusahakan, yang mengandungi nama-nama pesalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Sejak 2017, terdapat 3,738 kes baru berkenaan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, termasuk 978 kes pada 2019 dengan 1,131 kes telah dibawa ke mahkamah dan selesai dengan sabitan.

Lihat Komen
ADS