Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bebaskan atau dakwa tahanan Sosma sebelum Deepavali'
Diterbitkan:  Oct 25, 2019 4:53 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

Dua hari menjelang Deepavali, wakil rakyat DAP Kasthuri Patto menggesa polis sama ada mendakwa atau membebaskan tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang dikaitkan dengan kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Jelas Ahli Parlimen Batu Kawan itu, "tahan dulu, siasat kemudian" adalah pendekatan yang menindas yang pernah digunakan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dulu sebelum akta itu dihapuskan pada 2012.

“[...] Rayuan saya kepada kerajaan, dakwalah mereka di mahkamah atau lepaskanlah mereka sebelum Deepavali.

“[...] Ada undang-undang jenayah dan akta yang boleh digunakan untuk mendakwa mereka. Tapi untuk gunakan Sosma ke atas mereka, itu tak dapat diterima, ia melanggar hak asasi dan kebebasan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Daripada 12 yang ditahan di bawah Sosma itu, empat daripanya adalah ahli DAP.

“Tiada sambutan Deepavali buat DAP dan PH tahun ini, memandangkan ada rakan-rakan kami yang masih ditahan di bawah Sosma yang zalim, sedangkan mereka sepatutnya didakwa di mahkamah,” kata setiausaha antarabangssa Wanita DAP itu.

Awal minggu ini, Ketua Polis Negara (IGP) berkata siasatan sudah “dipercepatkan”, namun tidak berjanji suspek akan dibebaskan sebelum Deepavali, sambil menegaskan polis bertindak semata-mata berdasarkan keperluan dan kepentingan keselamatan.

Dua minggu lalu, pada 10 Oktober, polis menahan Adun DAP P Gunasekaran (Seremban Jaya) dan G Saminathan (Gadek) bawah Sosma kerana dikatakan terlibat dengan LTTE. Ahli DAP V Suresh Kumar dan S Chandru turut ditahan di bawah siasatan sama.

Keempat-empat mereka, bersama seorang juruteknik kilang S Arivainthan yang turut ditahan, menafikan sebarang kaitan dengan LTTE, dan memfailkan permohonan habeas corpus, yang memerlukan orang yang ditahan dibawa ke mahkamah untuk memperoleh kebebasan.

Pendengaran permohonan mereka dijadual 31 Oktober.

Sejak itu, isteri kepada Saminathan, Suresh Kumar dan Chandru melakukan mogok lapar di luar Bukit Aman bagi mendesak suami mereka dibebaskan.

Bagi Anggota Parlimen Teluk Intan, Ngo Kor Ming pula, meskipun menghargai usaha polis dalam membanteras kegiatan keganasan, beliau turut merayu agar siasatan disegerakan, seterusnya mendakwa atau melepaskan suspek.

“Sehingga sekarang, polis sepatutnya sudah siapkan siasatan, dan membebaskan tahanan (yang ditahan) bawah Sosma, berhubung isu LTTE.

“[...] Jika polis benar-benar yakin mereka ada bukti kukuh terhadap tahanan, maka suspek sepatutnya dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan secara adil, sekurang-kurangnya mereka diberikan peluang untuk mempertahankan diri.

“[...] Saya rayu kepada IGP untuk lengkapkan siasatan polis sekarang, dan bebaskan tahanan bawah Sosma supaya mereka boleh pulang menyambut Deepavali bersama keluarga masing-masing,” katanya dalam kenyataan berasingan.

“Sejak 1966, DAP sentiasa menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman,” kata Pengerusi DAP Perak itu.

Perkara sama turut disuarakan Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago, dengan memetik Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dan polis yang menurutnya, berulang kali berkata mempunyai bukti konkrit atas penahanan 12 individu itu.

Malah katanya, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipenganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sendiri berkata wujud transaksi kewangan dalam jumlah besar dipercayai untuk menggerakkan aktiviti berkaitan LTTE.

“Jadi kenapa tahan mereka bawah undang-undang kuno Sosma, yang membenarkan tahanan tanpa perbicaraan, yang PH janji untuk mansuhkan sebaik sahaja berkuasa?

“Deepavali disambut oleh penganut Hindu seluruh dunia untuk mengenali mana satu kuasa kebenaran dan keadilan, daripada kejahatan.

“[...] Semasa saya tulis ini, suasana di luar sana adalah gelap. Saya hanya mampu berharap yang kita akan ada hati perut dan bebaskan mereka ini sebelum Ahad ini, bila sambutan Deepavali bermula," katanya.

Dalam perkara ke-27 Buku Harapan, PH berjanji untuk memansuhkan beberapa akta zalim, dan memansuhkan peruntukan zalim dalam beberapa akta yang lain- termasuklah Sosma.

Lihat Komen
ADS