Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

DAP telah mengemukakan surat tunjuk sebab kepada Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP Ronnie Liu berhubung kenyataannya bahawa Pakatan Harapan (PH) boleh membentuk kerajaan tanpa Bersatu, minggu lalu.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Chong Chieng Jen berkata, parti itu kini sedang menunggu jawapan balas daripada Ronnie berhubung surat tunjuk sebab tersebut.

"Surat tunjuk sebab sudah diberikan kepada Ronnie dan DAP sedang menunggu surat balas daripada beliau.

"Prosesnya adalah mengemukakan surat tunjuk sebab, bila dia sudah balas kita akan buat keputusan," katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Chieng Jen yang juga Anggota Parlimen Stampin berkata demikian mengulas mengenai perkembangan terbaru mengenai isu Adun Sungai Pelik yang mempersoalkan mengenai perdana menteri dan PH.

Dalam ulasannya yang disiar Malaysiakini pada 22 Okt, Liu membidas prestasi Dr Mahathir Mohamad dan berkata sekiranya pengerusi Bersatu itu cuba memecahkan PH - DAP, PKR, Amanah, Warisan dan Upko masih boleh bergabung dan membentuk kerajaan baru - tanpa Bersatu.

Sebelum ini, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook, menyifatkan tindakan Ronnie itu sebagai sabotaj parti dan satu tindakan yang sangat serius.

Oleh yang demikian, Anthony berkata DAP akan merujuk Ronnie ke jawatankuasa disiplin parti kerana kenyataan itu.

Beliau turut berkata kenyataan itu amat tidak wajar dan tidak bertanggungjawab malah tidak mencerminkan pendirian parti.

Ronnie dalam kenyataannya pada 24 Okt lalu berkata beliau bersedia berdepan jawatankuasa disiplin.

Bagaimanapun beliau mempersoalkan sama ada tindakan akan diambil terhadap Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali kerana secara terbuka menolak konsensus PH berhubung penyerahan jawatan perdana menteri.

Lihat Komen
ADS