Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'Syarikat tak patuh kontrak, gagal hantar 6 helikopter MD'
Diterbitkan:  Nov 1, 2019 7:01 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

Kelewatan penerimaan helikopter tempur ringan MD530G kerana mengalami pelbagai masalah teknikal dengan syarikat pembuat asal (OEM), maklum Kementerian Pertahanan hari ini.

“Semasa pembinaan helikopter tersebut kerajaan telah mengkaji semula kesesuaian alatan serta spesifikasi dan mendapati pindaan dan perubahan perlu dibuat agar helikopter yang diterima memenuhi keperluan agensi.

"Berdasarkan kepada kontrak asal, syarikat telah gagal mematuhi obligasi utamanya iaitu menghantar enam buah helikopter.

"Tarikh penghantaran bagi helikopter tersebut juga telah dipinda sebanyak tiga kali, namun tiada sebuah helikopter pun yang telah diserahkan kepada Kerajaan sehingga hari ini," kata kementerian dalam suatu kenyataan hari ini.

Menurut Kementerian Pertahanan lagi, kerajaan telah membuat pembayaran kepada syarikat itu sebanyak

RM112.6 juta yang bersamaan dengan 35 peratus daripada RM321.9 juta nilai keseluruhan kontrak.

Sebelum ini, menteri pertahanan era BN, Hishammuddin Hussein membangkitkan isu berkaitan status penghantaran enam helikopter bernilai lebih RM300 juta yang dibeli oleh pentadbiran lama.

Hishammuddin mempersoalkan kenapa helikopter tentera itu tidak diterima jika 98 peratus tempahan itu sudah siap, seperti dinyatakan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pada sidang Dewan Rakyat.

Mohamad pada 30 Oktober dilaporkan berkata kerajaan mungkin perlu ke mahkamah berhubung isu helikopter tempur ringan MD530G yang dikeluarkan MD Helicopters dari Amerika Syarikat kerana belum dihantar.

FMT pada 20 Mei lalu melaporkan helikopter itu dipesan ketika Hishamuddin menjadi menteri pertahanan.

Menurut laporan itu lagi, helikopter itu menarik minat pegawai kementerian ketika Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima) 2015.

Bagaimanapun sumber berkata helikopter yang membuat demonstrasi ketika itu bukan MDG530G, tetapi variannya iaitu N369FF.

Lihat Komen
ADS