Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Malaikat boleh bantu hadapi musuh, kata PAS Melaka
Diterbitkan:  Nov 4, 2019 2:38 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

PAS Melaka membayangkan parti itu boleh mendapat bantuan malaikat jika anggota dan penyokongnya sentiasa "menjaga hubungan dengan Allah" semasa menjalankan sebarang aktiviti penerangan.

Memetik sebuah hadis Rasulullah SAW, Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Wan Zahidi Wan Ismail, berkata seseorang yang mendepani musuh demi menjalankan kerja untuk Islam boleh dibantu Jibril.

Hadis yang dipetik itu, katanya, menceritakan kata-kata Nabi Muhammad kepada seorang sahabat yang juga penyair terkenal, dikenali sebagai Hassan Ibnu Tsabit, iaitu: "Seranglah mereka atau hinakanlah mereka dengan syairmu, semoga Jibril membantumu."

Kata Wan Zahidi, usaha penerangan melalui karya penulisan juga boleh dijadikan 'senjata' untuk menyerang musuh dan ia dibuktikan dengan seruan nabi kepada Hassan agar mencipta syair bagi mencela dan menyerang kafir Quraisy.

"Kita harap idea-idea yang hendak kita kemukakan ini dibantu oleh malaikat.

"Apabila idea kita dibantu oleh malaikat, insya-Allah ada keberkatan di situ," katanya seperti dilaporkan portal Berita PAS.

Zahidi dilaporkan berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Strategi Penerangan PAS Melaka di Sungai Udang, Melaka, semalam.


Baca 'Malaikat boleh tolong undi PAS dengan izin Allah'


Wan Zahidi berkata apa yang lebih penting semasa menyediakan bahan penerangan parti bagi menyerang musuh, petugas harus mengikut lunas yang dibenarkan Islam.

Hanya melalui jalan itu, katanya, mereka boleh mendapat bantuan dari Allah melalui Jibril seperti yang dinyatakan oleh hadis berkenaan.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Melaka, Bakri Jamaludin, menjelaskan aktiviti penerangan parti itu kini tidak lagi menumpukan kepada kaedah tradisional seperti ceramah dan edaran risalah.

Sebaliknya kata Bakri PAS Melaka memberikan tumpuan sehingga 70 peratus kepada wadah baru seperti media sosial, berbanding kaedah tradisional.

Pendekatan itu, katanya, dibuat kerana PAS Melaka menyedari telefon pintar dan media sosial - seperti Facebook dan WhatsApps - adalah lebih popular berbanding media lain.

"Jika di dalam satu-satu rumah itu ada lima telefon pintar pastikan maklumat PAS sampai ke kelima-lima telefon pintar tersebut," ujarnya.

Lihat Komen
ADS