Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cyprus mahu teliti semula cara Jho Low dapat pasport

Kerajaan Cyprus akan mengkaji semula Pelan Pelaburan Cyprus yang membantu ahli perniagaan Jho Low mendapat pasport negara itu, di saat penyiasat antarabangsa semakin hampir mengesannya berkaitan skandal 1MDB pada 2015.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Cyprus Constantinos Petrides di Twitter hari ini, berkata kerajaan akan menyiasat isu yang dibangkitkan dalam laporan akhbar negara itu, Politis, bahawa Low mendapat status kewarganegaraan walaupun pemeriksaan latar belakang menimbulkan beberapa amaran (red flag).

Katanya lagi, kerajaan negara itu juga akan menyiasat kes-kes lain yang serupa, di mana individu menyalahgunakan sistem tersebut yang turut membolehkan mereka mendapat status warga Kesatuan Eropah.

 

Sementara itu, Socrates Hasicos yang menjadi menteri dalam negeri ketika kewarganegaraan diberi kepada Jho Low, menggesa status itu ditarik balik jika terbukti lelaki kelahiran Pulau Pinang itu melakukan jenayah.

Dalam hantaran di Facebook, Socrates berkata ketika kelulusan diberi, polis Cyprus memberitahunya bahawa Jho Low tiada rekod jenayah.

 Ia di sebalik laporan Low sudah pun dalam perhatian pihak berkuasa yang menyiasat skandal 1MDB.

Menerusi Pelan Pelaburan Cyprus, individu boleh mendapatkan taraf warganegara dengan mendepositkan lima juta euro ke dalam bank negara itu untuk tempoh tiga tahun dan membeli kediaman kekal yang berharga paling kurang 500,000 euro.

Laporan muka depan akhbar Cyprus, Politis hari ini mendakwa Jho Low menerima sokongan Ketua Biskop Cyprus Chrysostomos II untuk mendapatkan pasport dari negara kepulauan Mediterranean itu.

Menurut laporan itu, ketua gereja Kristian Ortodoks itu dalam sepucuk surat kepada menteri hal ehwal dalam negeri ketika itu Socrates Hasicos bertarikh 1 September 2015, menyatakan permintaannya agar Jho Low diberikan status warga naturalisasi.

Ia berkata Low kemudiannya diberi status warganegara pada 18 September 2015, selepas bertemu Hasicos dan membeli sebuah villa yang tidak siap berharga lima juta euro di negara itu bagi memenuhi syarat permohonannya.

Semalam, ia melaporkan pemeriksaan latar belakang bagi permohonan Jho Low membangkitkan membangkitkan kebimbangan terhadap status Low sebagai 'politically exposed person' (PEP) serta dakwaan kegiatan pengubahan wang haram, penipuan dan pelanggaran undang-undang.

PEP ditakrifkan sebagai individu yang diberi kepercayaan awam dan lebih berkemungkinan untuk terlibat dengan rasuah dan korupsi ekoran kedudukannya itu.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah diselewengkan daripada 1MDB dan kini bekerjasama dengan Malaysia untuk mendapatkan semula dana tersebut.

Bekas perdana menteri Najib Razak kini dibicarakan atas dakwaan rasuah sementara Low masih tidak dapat dikesan.

Lihat Komen
ADS