Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Berjasa: Kami bertanding sebab PAS, Umno tak panggil bincang soal calon

Calon Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Badhrulhisham Abdul Aziz menjelaskan antara sebab partinya bertanding di pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai adalah kerana PAS dan Umno tidak melibatkan mereka dalam perbincangan mengenai calon.

Selain itu, Badrulhisham berkata, keputusan itu juga dibuat kerana PAS dan Umno tidak menghiraukan gesaan untuk meletakkan calon Melayu.

“Kita dah keluarkan lima hingga enam kenyataan berkenaan pendapat kita untuk calon Melayu Islam dipilih.

“[...] tetapi PAS dan Umno tidak hiraukan. Mereka (PAS dan Umno) tidak ambil kisah untuk berbincang dengan kami (Berjasa).

“Umno juga tidak panggil bincang contohnya kalau sekadar formula pilih MCA kerana ini kerusi tradisi mereka pun, bincang lah dengan kami,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media di Masjid Kampung Parit Selangor, Pekan Nenas, Pontian Johor hari ini.

Sebelum ini terdapat desakan agar Umno bertanding di kerusi itu tetapi BN memutuskan untuk meletakkan calon dari MCA, Wee Jeck Seng.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang hari ini juga menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan Berjasa untuk bertanding dan akan mengkaji kerjasama bersama parti berkenaan.

Badhrulhisham sebelum ini menafikan tanggapan yang menyatakan bahawa Berjasa menyertai PRK itu kerana BN meletakkan calon Cina.

Sementara itu, Badrulhisham turut berkata bahawa beliau yakin tidak akan kehilangan wang deposit yang dipertaruhkan untuk PRK tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita adakah bersedia jika terpaksa kehilangan deposit sekiranya kalah.

“Saya yakin tidak akan hilang wang deposit. Insya-Allah saya rasa tidak akan kalah.

“Sebenarnya dengan bertanding kami dah capai objektif utama paling utama iaitu untuk bertanding dan hantar mesej kepada rakyat serta PAS dan Umno tentang penyatuan orang Melayu yang penting,” katanya.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan seseorang yang ingin bertanding dalam pilihan raya parlimen dikehendaki mengemukan wang deposit RM10,000.

Calon akan hilang wang deposit sekiranya gagal memperoleh 1/8 atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

PRK Tanjung Piai diadakan selepas penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lalu.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru. Selain Berjasa dan MCA, calon lain ialah Karmaine Sardini dari Bersatu yang mewakili PH, Wendy Subramaniam (Gerakan) dan calon bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

SPR menetapkan tempoh kempen selama 14 hari bermula hari ini dengan tarikh mengundi pada 16 November manakala 12 November ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

Lihat Komen
ADS