Kadir cadang tangkap Jho Low ala Mossad
Kadir jasin berkata sudah tiba masanya agar pihak berkuasa Malaysia menggunakan pendekatan ala Mossad dalam usaha menangkap ahli perniagaan Jho Low.
Kadir memetik agensi risikan Israel itu dalam menggesa kerajaan agar mentuntaskan pemburuan Jho Low yang dikehendaki pihak berkuasa berhubung skandal 1MDB.
Penasihat media perdana menteri itu bagaimanapun tidak mengulas lanjut cadangan berkenaan.
Untuk rekod, Mossad antara lain dikenali pernah menculik penjenayah perang Nazi, Adolf Eichmann pada tahun 1960 serta yang terbaru dikaitkan dengan pembunuhan pengasas bersama sayap tentera Hamas, Mahmoud al-Mabhouh di bilik hotel di Dubai.
Bagaimanapun, dalam tulisan di blognya itu, Kadir menunjukkan bahawa dia manggambarkan Jho Low masih hidup ketika dibawa pulang ke Malaysia bagi berdepan tuduhan berhubung skandal 1MDB.
"Jadi, mari kita buat (seperti) Mossad dan tangkap dia. Ini tidak sepatutnya sukar dilakukan kerana agensi penguatkuasa undang-undang dan orang atasan memberitahu kita bahawa mereka tahu di mana dia (Jho Low) berada.
"Marilah berhenti meraba-raba dalam semak. Gali dia keluar dari lubang cacing, seperti dijanjikan, dan bawa dia pulang ke Malaysia walaupun dia menjerit dan menendang," katanya dalam catatan itu.
Kadir dalam catatan itu mengulas mengenai laporan berita terbaru mengenai Jho Low, yang telah mendapat pasport Cyprus.
'Ubah wajah seperti Leonardo DiCaprio'
Kadir juga berkongsi pandangannya bahawa Jho Low tidak mungkin membedah wajahnya "seperti beruang dan berjalan seperti seladang" kerana ia akan menyebabkannya tidak boleh mendapatkan pasport.
"Dia lebih cenderung buat pembedahan untuk mendapatkan wajah kacak seperti pelakon Leonardo DiCaprio.
"Kenapa mahu kelihatan seperti beruang apabila hasil curi wang 1MDB, yang meskipun telah diserahkan sebahagian kepada Jabatan Kehakiman AS (DOJ), dapat membuat kamu kelihatan sepeti DiCaprio atau Humphrey Bogard?
"Lagipun, dia (Jho Low) memang menjalani kehidupan seperti dalam filem di Holywood sehingga kita mendedahkannya sebagai dalang dan agen untuk bekas perdana menteri, sekitar selepas pilihan raya umum (PRU) 2013," katanya.
Berikutan maklumat yang mengatakan Jho Low memiliki pasport Cyprus, Kadir berkata kini lebih mudah bagi pihak berkuasa Malaysia untuk mengesan ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu.
"Dengan pasport yang sah, dia mungkin cenderung untuk bergerak lebih meluas dan boleh terleka.
"Pasport dan kewarganegaraan Cyprus sebenarnya boleh didapati secara murah dan mudah dengan harga bermula 2.15 juta euro (kira-kira RM10 juta) dan Jho Low mungkin ada membeli pasport lain," katanya.
Semalam, media melaporkan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador sebagai berkata bahawa pihak berkuasa negara tempat Jho Low dipercayai bersembunyi enggan memberi kerjasama kepada polis Malaysia.
Kata Abdul Hamid, antara alasan diberikan pihak berkuasa negara itu, termasuk kononnya Jho Low sudah mengubah rupanya dengan menjalani pembedahan muka dan menyerupai beruang.
“Muka dia dikatakan sama seperti muka beruang. Saya tidak tahulah, tetapi kononnya dia sekarang sudah mengubah rupa bentuk mukanya,” katanya.
Dalam perkembangan terbaru, Presiden Cyprus, Nicos Anastasiades bersetuju agar pasport yang diberikan negara itu kepada ahli perniagaan dalam buruan Jho Low ditarik balik.
Bagaimanapun, Anastasiades, menambah bahawa siasatan harus dilakukan terlebih dahulu untuk membatalkan pasport Jho Low.






