Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Sokong calon BN tanda hormati Muafakat Nasional

PRK TG PIAI | PAS sekali lagi menggesa penyokongnya di Tanjung Piai agar memilih calon BN dan bukannya Berjasa, sebagai tanda menghormati Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai dengan Umno.

Naib presidennya Mohd Amar Nik Abdullah berkata, walaupun piagam itu dimeterai antara PAS dan Umno, tetapi sebenarnya dua parti itu mewakili BN yang dianggotai MCA, dan Gagasan Sejahtera yang dianggotai Berjasa.

"Kita wakili Gagasan Sejahtera, manakala Umno dengan BN. Itu asasnya walaupun secara zahirnya Umno dan PAS, tapi sebenarnya kita macam wakil kepada satu gabungan yang lebih besar.

"Sebagai parti kita menghormati perjanjian dengan Umno, maka kita minta penyokong undi calon BN," katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat exco kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Beliau mengulas penyertaan Berjasa melalui presidennya Dr Badrulhisham Abdul Aziz dalam PRK Tanjung Piai.

Badrulhisham (berbaju hijau)

Badrulhisham sebelum ini berkata keputusan itu selepas PAS dan Umno tidak melibatkan mereka dalam perbincangan mengenai calon, dan tidak menghiraukan gesaannya agar meletakkan calon Melayu.

Pada 4 November lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata pihaknya tidak setuju dengan langkah Berjasa dan akan mengkaji kerjasama dengan parti itu "dari semasa ke semasa".

Mohd Amar berkata sepatutnya tidak timbul persoalan untuk PAS menyokong Berjasa dalam PRK itu.

"(Ini kerana) Kita ada persetujuan dengan Umno dan BN. Kita hormat perjanjian itu walaupun (calon) mereka bukan Melayu-Islam, tapi sebahagian kita mewakili pembangkang.

"Kita patut kukuhkan pembangkang untuk menyuarakan hasrat rakyat. Suara pembangkang itu penting...jadi kita pun kena ada (suara) kuat dalam parlimen," katanya.

Ditanya sama ada PAS terasa hati dengan tindakan Berjasa, Mohd Amar berkata perkara itu tidak berbangkit.

"Kita sendiri tak bertanding buat apa nak terasa hati, cuma dari segi semangat bila Berjasa bertanding dia bertembung dengan semangat Muafakat Nasional. Sekarang ini boleh bincang di peringkat Gagasan Sejahtera, kita tak ada masalah," katanya lagi.

Selain Wee dan Badrulhisham, empat lagi calon ialah Karmaine Sardini (PH), Wendy Subramaniam (Gerakan), dan dua calon bebas iaitu Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Lihat Komen
ADS