Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam tahanan LTTE adukan ‘ugutan serius polis’ kepada hakim

Peguam bela kepada dua suspek yang dikaitkan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) mengadu kepada hakim tentang siasatan polis terhadap dirinya berhubung laporan media yang memetiknya sebagai berkata  polis menyeksa tahanan berkenaann.

Aduan itu dikemukakan oleh peguam bela B Subramaniam, S Selvam di hadapan Hakim Azura Alwi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Kata Selvam, berdasarkan"sumber" polis memulakan siasatan terhadap dirinya berhubung laporan media mengenai dakwaan tahanan berkenaan diseksa.

“Saya agak bimbang terhadap ugutan serius terhadap saya dalam saya menjalankan tugas membela tertuduh. Ini sangat tidak adil,” katanya.

Tambahnya, sebagai seorang peguam, dia tidak perlu ditakutkan oleh mana-mana pihak dalam melunaskan tanggungjawabnya membela anak guamnya.

Malah, katanya juga, siasatan sama dimaklumkan turut dijalankan terhadap peguam bela seorang lagi tahanan kes yang sama, iaitu A Kalaimughilan, MV Yoges.

“Kalau begini polis bertindak, saya tak boleh membela anak guam saya dengan efektif. Saya tak boleh datang ke mahkamah dengan ketakutan yang saya (mungkin) akan didakwa ...” katanya.

Pagi tadi, hakim memutuskan bahawa mahkamah “mengambil maklum” aduan kedua-dua suspek dalam keterangan dalam kamera mendakwa mereka diberi layanan buruk, diseksa dan diugut semasa ditahan.

Hakim Azura kemudian memutuskan tarikh 5 dan 6 Disember untuk mahkamah melakukan pemeriksaan terhadap aduan tersebut, bawah seksyen 133 Kanun Tatacara Jenayah.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya, Low Qin Hui, mempertahankan siasatan itu kerana ia hanya untuk menyiasat sama ada berlaku kesalahan (offence) dalam laporan media tersebut, memandangkan keterangan dalam kamera sepatutnya tidak boleh didedahkan kepada umum.

Bagaimanapun, Selvam membalas bahawa laporan tersebut adalah berasaskan aduan semasa pendakwaan pada 31 Oktober, yang terbuka kepada orang awam dan wartawan.

Malah, katanya, keterangan dalam kamera sehari selepas itu pun hanyalah hasil sampingan (byproduct) daripada aduan yang dikemukakan semasa pendakwaan.

Namun, Low masih tidak melihatnya sebagai masalah memandangkan polis hanya menyiasat, dan bukannya mengganggu (harrass) peguam terbabit.

“Kuasa patut diberikan kepada pihak polis (untuk menyiasat), dan memutuskan dapatan sama ada berlaku salah laku ataupun tidak,” katanya.

Azura bersetuju dengan pandangan Low dan berkata dia tidak boleh berbuat apa-apa terhadap siasatan tersebut, dan berpendapat siasatan itu pun masih di “peringkat yang terlalu awal” untuk disimpulkan apa-apa.

Subramaniam dan Kalaimughilan adalah antara mereka yang ditahan dalam operasi khas polis awal Oktober lalu. Kalaimughilan dihadapkan ke mahkamah kali pertama pada 29 Oktober lalu, manakala Subramaniam pada 31 Oktober.

Kedua-dua tertuduh ditahan reman di Penjara Sungai Buloh mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan di bawah SOSMA juga mereka tidak dibenarkan diikat jamin sementara menunggu perbicaraan atau kes selesai.

Semalam, polis juga merakamkan kenyataan daripada wartawan Malaysiakini mengenai laporan portal berita itu mengenai dakwaan tahanan yang mendakwa diberi layanan buruk, diseksa dan diugut semasa di penjara.

Dalam perkembangan berkaitan, selepas pengumuman keputusan tersebut pagi tadi, kedua-dua suspek diberikan ruang untuk bertemu seketika dengan ahli keluarga mereka yang hadir di mahkamah.

Kebenaran itu diberikan Azura selepas Selvam membuat permintaan selepas tarikh pemeriksaan diumumkan.

Kedua-dua suspek diberikan sepuluh minit untuk bertemu dengan ahli keluarga masing-masing yang hadir ke mahkamah tadi.

Lihat Komen
ADS