Paling Popular
Terkini

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, membuat laporan polis terhadap Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataan presiden Umno itu dalam isu pembebasan tertuduh kes basikal lajak baru-baru ini.

Jelas Lim, kenyataan dibuat Ahmad Zahid telah mencemar nama baik dan menjejaskan badan kehakiman.

“Saya rasa kenyataan Zahid hari itu (7 Nov) sangat serius [...] dan mencemar nama baik badan kehakiman, menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap kehakiman, memalukan, menyinggung dan menyentuh integriti keadilan mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian hari ini.

Mahkamah Majistret Johor Bahru baru-baru ini membebaskan Sam Ke Ting daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja.

Majistret Siti Hajar Ali membebaskan Sam, 24, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Pada 7 Nov lalu, Ahmad Zahid dilaporkan mempertikai keputusan kes mahkamah tersebut dalam satu ceramah di Tanjung Piai.

"Apabila lapan kanak-kanak main basikal di Johor dilanggar oleh seorang wanita, wanita itu dibebaskan seolah-olah tiada bukti.

"Kanak-kanak itu mati dan jadi arwah," katanya, membuatkan seorang hadirin melaungkan perempuan itu patut dihukum gantung.

Senangkan semua orang

Walaupun Ahmad Zahid tidak menyatakan secara jelas mengenai pemandu wanita tersebut, namun kritikan mengenai keputusan mahkamah itu dipercayai merujuk pada latar belakang tertuduh yang berbangsa Cina. 

Sementara itu, Lim juga mendedahkan laporan polis dibuat di Pontian kerana dia tidak mahu menyukarkan pihak berkuasa, dan kebetulan hadir di Tanjung Piai bagi membantu calon PH.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan pemberita mengapa laporan itu di buat di sini dan bukan di Kepong.

“Hari ini saya (buat laporan polis) di sini kerana saya pun tak mahu susahkan polis di Kuala Lumpur atau susahkan polis di Tanjung Piai pergi Kepong cari saya.

“Jadi , saya buat di sini untuk menyenangkan semua pihak dan saya juga ada ceramah di sini (Tanjung Piai) katanya.

Lim yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan menggesa pihak berkuasa segera mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahmad Zahid.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Pemuda PH Johor, Taqiuddin Cheman, turut membuat laporan polis susulan kenyataan Ahmad Zahid dan menggesa pihak polis supaya mengambil tindakan. 

Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang ditemui di Pekan Kukup semalam tidak menganggap kenyataannya itu tindakan menghina mahkamah.

Malah, beliau juga menyifatkan bahawa perkara tersebut telah dipolitikkan oleh pihak kerajaan.

Ditanya susulan laporan polis dibuat oleh ahli PH itu, Ahmad Zahid berkata sesiapa juga berhak bertindak sedemikian. 

Presiden Umno pada malam ini juga tampil menjelaskan lanjut mengenai laporan polis yang dibuat MP Kepong siang tadi.

"Ayat yang saya sebut itu bukan merujuk kepada mahkamah tetapi kepada kegagalan pendakwaan untuk buktikan kes dan belum memfailkan rayuan ketika itu," katanya pada hantaran di Facebook.

 

Lihat Komen
ADS