Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam gagal dapat kebenaran cabar sekolah vernakular
Diterbitkan:  Nov 11, 2019 11:12 AM
Dikemaskini: 5:47 AM

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini menolak kebenaran kepada peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz untuk mencabar kewujudan sekolah-sekolah vernakular yang menurutnya bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.

Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed dalam penghakimannya memutuskan bahawa parlimen mempunyai bidang kuasa untuk mengubal undang-undang mengenai pendidikan.

Beliau juga memutuskan bahawa Mahkamah Persekutuan bukanlah platform untuk pemohon mencabar kewujudan sekolah-sekolah vernakular.

Sebaliknya, kata beliau mahkamah tinggi boleh mendengar isu perlembagaan yang berkaitan dengan sekolah vernakular itu sendiri.

"Oleh itu, permohonan kebenaran di bawah Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak betul," kata Azahar.

Beliau walau bagaimanapun tidak mengarahkan sebarang kos daripada Mohd Khairul, yang juga adalah naib presiden Parti Bumiputera Pesaka Malaysia (Putra).

Mohd Khairul perlu mendapatkan kebenaran daripada seorang hakim Mahkamah Persekutuan berdasarkan Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan kerana beliau mencabar kecekapan badan perundangan persekutuan untuk meluluskan undang-undang.

Dalam usul yang difailkan pada 23 Okt tahun ini, peguam itu memohon perisytiharan daripada Mahkamah Persekutuan bahawa keputusan Parlimen meluluskan pindaan kepada Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 supaya kewujudan sekolah vernakular diteruskan, adalah tidak mengikut perlembagaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Azahar menegaskan Parlimen menggubal undang-undang berkaitan pendidikan dan perkara yang berhubung dengannya.

Beliau berkata perkara yang dikemukakan Mohd Khairul perlu dimulakan di Mahkamah Tinggi dan bukannya terus ke Mahkamah Persekutuan.

"Mahkamah Tinggi kompeten untuk mendengar cabaran seperti itu,” kata Hakim Azahar.

Mohd Khairul memfailkan usul itu dengan menamakan Kerajaan Malaysia dan Menteri Pendidikan selaku responden.

Dia mendakwa sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil yang ditubuhkan oleh Menteri Pendidikan bertentangan dengan Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu.

Peguam Shaharudin Ali yang mewakili Mohd Khairul Azam memberitahu media mereka mungkin memfailkan usul baru berhubung isu itu di Mahkamah Tinggi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS