Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN l Kata segelintir orang, Pakatan Harapan (PH) perlu ditewaskan pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai demi mengantar mesej dan rasa tidak puas hati kepada Putrajaya. Terutamanya dengan keadaan ekonomi yang buruk dan belum dapat dipulihkan sepenuhnya walaupun selepas lebih setahun setengah PH mentadbir.

Di sebalik hujah sebegitu, kepada para sahabat, saudara-mara dan pengundi di Tanjung Piai, tuan-puan wajar menyedari bahawa bukankah kita telah sepakat untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) lalu?

Sesungguhnya, Tanjung Piai boleh berbangga kerana menjadi antara kerusi parlimen yang menyumbang kepada perubahan besar peralihan kuasa pertama kali dalam sejarah Malaysia. BN telah tumbang. Rakyat telah menang.

Masih banyak kerusi parlimen, termasuk di bumi Darul Takzim ini, yang tidak boleh mengangkat muka sepertimana orang Tanjung Piai. Lebih membanggakan, perubahan yang dilakukan itu adalah dengan cara aman - tidak seperti di banyak negara lain yang berakhir dengan huru-hara, pembunuhan, bahkan sehingga menyebabkan negara itu hancur.

Arab Spring

Lupakah kita dengan apa yang terjadi di Indonesia pada 1998-99 apabila proses perubahan kerajaan dan kejatuhan Presiden Seoharto telah menyebabkan ratusan nyawa tumpas, termasuk golongan mahasiswa?

Begitu juga dalam “Arab Spring” sama ada di Mesir atau Syria beberapa tahun lalu yang juga akhirnya membenihkan kemunculan kelompok pengganas yang mengatasnamai jenama “Islam”.

Di atas kemenangan PH pada 9 Mei tahun lalu, tidak ada seorang pun yang terkorban jiwa, sama ada di Kampung Bunian, Serkat atau di Kukup seperti apa yang pernah berlaku di Jakarta 20 tahun lalu.

Pemimpin Umno yang disyaksi merompak hasil negara juga gagal melarikan diri seperti bekas presiden Ferdinad Marcos di Filipina. Mungkin benar bahawa tujuh-lapan orang pemimpin elit Umno yang didakwa di mahkamah belum cukup membayangkan rasuah yang menjalar puluhan tahun lamanya.

Di ibu negeri kita, Johor Bahru - bahkan seluruh negeri Johor yang kita sayangi ini - tidak wujud huru-hara sepertimana yang dimomok-momokkan oleh pemimpin BN setiap kali PRU. Di pekan Pontian tiada kedai yang dibakar. Kapal masih berlabuh di pangkalan dan perahu nelayan pulang dengan selamat.

Lebih membanggakan, JDT tetap ke perlawanan akhir dan dijulang sebagai juara Piala Malaysia tahun ini.

Berswafoto tidak tentu tujuan

Sekiranya ada cabaran yang perlu kita tempuh dengan sabar seperti harga sawit yang kekal rendah dan belum pulih - lebih kurang sama dengan keadaan sebelum PRU. Bantuan kepada nelayan dan masyarakat luar bandar pula perlu dirasionalisasikan semula, sepertimana yang dapat kita lihat di dalam Belanjawan 2018, telah diperbaiki dalam Belanjawan 2019.

Ya, pondok-pondok tol yang sudah bersarang lebih tiga dekad di lebuh raya masih tercangok tegak. Tapi langkah pertama sudah dilakukan agar kadarnya dapat dikurangkan. Paling tidak, tiada kadar baharu yang menjerut leher pengguna lebuh raya untuk pulang membuang undi, atau pada hari-hari perayaan.

Cabaran lain kepada anak-anak atau adik-adik kita ialah peluang pekerjaan. Sebagai rakyat, kita memang wajar menuntut penyelesaian segera agar peluang pekerjaan bertambah. Menteri harus bekerja dengan jujur, bukan berswafoto tidak tentu tujuannya.

Namun di sebalik cabaran itu, ia secara tidak langsung telah menjadikan anak-anak muda tanpa mengira kaum lebih berdaya hidup. Kekayaan adalah peluang yang perlu direbut, dan bukan lagi seperti di era Malaysia lama, kekayaan dikurniakan kepada golongan dan kroni tertentu sebelum saki-bakinya sahaja yang sampai kepada rakyat jelata.

Kecelakaan tinggalan kerajaan BN

Peluang inilah yang perlu dikejar oleh anak-anak Tanjung Piai demi akhirnya kita dapat berbakti semula kepada kedua orang tua.

Dalam kata lain, kecelakaan yang ditinggalkan kerajaan terdahulu, mulai kita atasi bersama. Kalau ada menteri yang lemah, layu atau berpura-pura, orang Tanjung Piai tidak perlu terlalu gusar atau ditakut-takutkan untuk menegur. Tegurlah! Tapi bukan dengan mengorbankan kampung halaman kita untuk dipulangkan kepada genggaman BN. Bukan!

Ini kerajaan baru, yang berlapang dada dan terbuka. Teguran boleh dilakukan di dada-dada media yang tidak lagi dikawal. Paling mudah, tuliskan sahaja di FB, twitter, whatsapp atau apa-apa pun media sosial. Di sana suara sebenar yang lebih besar pengaruhnya.

Tulisan orang awam, saya yakin, boleh dibaca sampai oleh perdana menteri. Dibaca juga oleh Anwar Ibrahim. Bahkan saya yakin, banyak program dan inisiatif di bawah kerajaan PH selama ini dipetik daripada pandangan masyarakat di media sosial.

Sebenarnya apa yang perlu dipertahankan ialah makna besar kebebasan, yang tidak dinikmati selama puluhan tahun kita hidup di bawah rejim BN. Orang Tanjung Piai tidak akan pernah lupa bagaimana wakil rakyat MCA membisu ketika pemimpin elit BN menjarah kekayaan negara.

Jangan berpatah kembali ke era gelap. Jangan kerana nyamuk, kelambu hendak dibakar. Janganlah begitu.

Tanjung Piai telah bersama mendirikan Malaysia baru, maka tidak ada sebab mengapa tuan-puan mahu memadam sejarah kebanggaan yang telah tuan-puan sendiri lakarkan! Berikan undi kepada Haji Karmaine Sardini; calon Pakatan Harapan; nombor empat. Luaskan kuasa.

Perjuangan ini, tiada undurnya lagi. Perjalanan yang sebenarnya baru bermula.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS