Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis panggil bekas bos Beng Hock dalam siasatan baru

Polis Selangor telah memanggil Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah sebagai sebahagian daripada siasatan semula terhadap kes kematian bekas pembantunya, Teoh Beng Hock.

Ketika dihubungi, Yong berkata beliau dihubungi oleh polis pada minggu lalu dan dipanggil ke ibu pejabat kontinjen polis Selangor di Shah Alam tengah hari tadi.

"Saya ditemuramah oleh seorang pegawai kanan polis selama satu jam dan mereka meminta saya untuk membantu siasatan baru mereka di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana pengurungan yang salah," katanya kepada Malaysiakini.

"Saya diberitahu polis telah menerima arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk membuka semula kes itu."

Antara lain, Yong berkata beliau memberitahu polis bagaimana sekumpulan pegawai memperlakukan Teoh seperti seorang suspek dan bukan seorang saksi ketika dia ditemani ke ibu pejabat SPRM Selangor di Shah Alam.

"Polis akan meneliti semula keseluruhan kes itu dan cuba mencari bukti baru. Siasatan itu hanya permulaan. Sekiranya terdapat bukti baru, ada kemungkinan pertuduhan baru akan difailkan," kata Yong.

Pada 16 Julai 2009, Teoh ditemui mati selepas jatuh dari tingkat sembilan bangunan Plaza Masalam, bekas ibu pejabat SPRM di Shah Alam, di mana beliau ditahan semalaman untuk disoal siasat.

Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun lepas telah bersetuju untuk membuka semula siasatan terhadap kes kematian Teoh, selepas hampir satu dekad tuntutan dibuat anggota keluarganya dan penyokong.

Pada bulan Jun, satu kumpulan yang berjuang menuntut keadilan untuk Teoh telah meminta penjelasan daripada Peguam Negara Tommy Thomas mengenai pengkelasan semula siasatan polis terhadap kes kematian Teoh.

Kumpulan itu memberikan alasan bahawa kes itu sepatutnya disiasat di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan mengenai "kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh orang."

Pengerusi Yayasan Teoh Beng Hock Untuk Demokrasi, Ng Geok Chee berkata ini berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan pada tahun 2014 bahawa satu atau lebih orang yang tidak dikenali, termasuk pegawai SPRM, telah menyebabkan kematian Teoh.

Penghakiman itu membatalkan keputusan terbuka mahkamah koroner berkenaan kematian Teoh, sebaliknya Teoh meninggal dunia akibat jatuh yang boleh dipercepat oleh tindakan melanggar undang-undang oleh orang yang tidak diketahui, termasuk oleh pegawai SPRM.

Berikutan keputusan itu, SPRM bersetuju untuk membayar RM600,000 kepada keluarga Teoh sebagai penyelesaian kes saman kecuaian terhadap suruhanjaya itu.

Mahkamah juga memerintahkan pihak polis untuk menyiasat kematian tersebut.

Pada 2016, Jabatan Peguam Negara tidak menemui unsur jenayah dalam kematian Teoh.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS